suria

Wanita hantar 65,000 pesanan, pecah masuk rumah selepas cinta ditolak

PERNAHKAH anda berada dalam temu janji yang teruk? Namun, seteruk mana pun temu janji anda itu, ia mungkin tidak seteruk yang dialami oleh seorang lelaki dari Amerika Syarikat ini.

Seorang lelaki dari Phoenix bertemu dengan seorang wanita yang dikenalinya secara atas talian.

Temu janji itu tidak berakhir dengan baik dan memaksa lelaki berkenaan untuk menyekat wanita tersebut daripada aplikasi temu janji.

Kira-kira 17 bulan kemudian, wanita itu menghantar hampir 65,000 pesanan, sekitar 500 pesanan sehari kepada lelaki itu.

Dalam dokumen mahkamah, pendakwa raya mendedahkan bahawa pesanan yang dihantar berbaur ancaman dan satu daripadanya berbunyi: "Jangan cuba tinggalkan saya. Saya akan bunuh awak. Saya tidak mahu menjadi pembunuh."

Wanita itu berkata akan 'memakai' bahagian badan lelaki tersebut dan mandi dengan darahnya.

Ketika lelaki itu berada di luar kawasan pada bulan lalu, dia mendapati wanita tersebut memecah masuk ke rumahnya dan mandi di dalam tab mandian kediamannya, berpandukan rakaman kamera litar tertutup.

Pihak polis yang tiba di kediaman itu mendapati bukan sahaja terdapat tetamu yang tidak diundang, tetapi beberapa pisau pemotong daging berada di tempat duduk hadapan kereta wanita itu.

Polis kemudiannya menahan wanita terbabit dan mendakwanya atas kesalahan menceroboh.

Wanita itu juga tidak muncul di mahkamah sehingga waran terpaksa dikeluarkan untuk menahannya.

Pada Selasa, polis Paradise Valley di Arizona menahan seorang wanita selepas dia muncul di premis perniagaan lelaki itu dengan mendakwa dia adalah isterinya.

Pihak polis mengenal pasti suspek sebagai Jacqueline Ades, 31. - CNN

cinta ditolak

Artikel Lain