SEBUAH rakaman yang sukar dipercayai menunjukkan seorang banduan dengan sebilah parang di tengkorak kepalanya berjalan dan bercakap seolah-olah tiada apa berlaku. Banduan kes rompakan, Pedro Ferreira, 34, boleh dilihat duduk di katil hospital di Brazil dan dengan tenangnya menceritakan tentang bagaimana dia diserang dengan senjata tersebut. Pedro berjaya diselamatkan daripada insiden itu dan tidak mengalami kecederaan jangka masa panjang selepas pakar bedah di Hospital Restoration di Recife mengeluarkan parang tersebut menerusi pembedahan yang memakan masa selama lima jam. Dia kemudiannya dipindahkan ke wad penjara dan keadaannya dilaporkan stabil. Selepas keluar dari wad itu, Pedro kembali ke selnya. Banduan tersebut yang dipenjarakan pada 2004, terlibat dalam pergaduhan dengan seorang banduan di penjara berkeselamatan tinggi Professor Barreto Campelo di Pulau Itamaraca pada bulan lalu. Pedro mengenal pasti penyerangnya ialah Antonio da Silva yang berusia 27 tahun. Dia berkata kepada polis: 'Saya diberitahu untuk pergi ke sel Antonio oleh seorang lagi banduan. Ketika saya sampai di sana, saya diserang dengan parang di bahagian kepala. Para pegawai cuba memasukkan Pedro ke ruang belakang van, namun saiz parang tersebut yang panjang membuatkan dia tidak muat untuk masuk. Para doktor terkejut apabila melihat Pedro dalam keadaan sedar, waras dan boleh bergerak. Sebuah siasatan dijalankan untuk mengetahui motif di sebalik serangan itu dan kelemahan pihak keselamatan yang boleh terlepas pandang bagaimana senjata tajam itu boleh masuk ke dalam penjara.