SEORANG model yang lebam sebelah mata selepas dibelasah oleh teman lelakinya mendakwa sekeping swafoto telah menyelamatkan nyawanya. Martha Dolak terperangkap selepas pasangannya Michael Goodwin mengunci pintu kediaman lelaki itu dan membelasahnya sehingga menyebabkan tengorak kepalanya retak serta kecacatan kekal pada saraf optiknya. Namun, model berusia 31 tahun itu sempat merakam swafoto kecederaan yang dialaminya dan menghantar gambar itu kepada seorang rakan yang kemudiannya memaklumkan tentang kejadian itu kepada ibu bapa Martha dan pihak polis. Serangan ganas yang berlaku pada oktober tahun lalu ketika dua anak Michael berada di bilik lain tercetus selepas lelaki terbabit memeriksa telefon bimbit Martha. Michael, 30, terbaca pesanan yang dihantar oleh rakan Martha yang menggesa agar model itu meninggalkannya kerana terlalu mengongkong. Martha berkata: "Ketika Michael nampak mesej itu, dia terus meradang. Saya amat takut dan cuba mendapatkan barang-barang saya dan meninggalkan rumah itu. Martha merupakan seorang model. "Dia cakap saya tidak boleh keluar kerana pintu-pintu telah dikunci. "Saya menuju ke tingkap dan lihat jika saya boleh terjun dengan selamat, tapi tiba-tiba saya rasa sangat sakit dan tidak ingat apa yang berlaku. "Saya tidak boleh rasa kaki saya dan kepala saya sangat sakit. Saya langsung tidak boleh angkat kepala. "Mata saya pula tidak boleh dibuka dan rasa seperti ada kesan darah pekat yang telah kering di bahagian muka," katanya, lapor Mirror UK. Selepas serangan itu, Martha meninggalkan Michael setelah menjalinkan hubungan selama 18 bulan dan kemudian mendakwa lelaki itu di mahkamah. Michael dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun tiga bulan oleh Mahkamah Kingston Crown, England.