PUTERA George dan Puteri Charlotte dilihat sedang leka bermain di bawah panas terik matahari bersama dengan The Duchess of Cambridge semasa menyaksikan bapa mereka, Putera William bermain polo pada Ahad. Namun terdapat satu elemen dalam gambar tersebut yang mencetuskan rasa kurang senang di kalangan netizen iaitu gelagat Putera George bermain dengan pistol mainan. Gambar keluarga diraja itu dirakam ketika The Duke of Cambridge mengambil bahagian dalam Maserati Royal Charity Polo Trophy di Tetbury, Cloucestershire pada petang Ahad. Keluarga itu dilihat bersiar-siar sehari selepas menghadiri sambutan ulang tahun kelahiran Ratu Elizabeth di Istana Buckingham. Kate yang memakai gaun biru dengan bahunya sedikit terdedah dilihat sedang duduk di atas rumput, menemani George dan Charlotte bermain di sebelahnya. Charlotte, 3, yang memakai gaun berwarna merah jambu sambil memegang cermin mata hitam, dirakam sedang meloncat-loncat dengan hanya berkaki ayam. George yang berseluar pendek dan memakai kemeja-T berwarna biru gelap pula dirakam sedang bermain pistol mainan, pisau mainan dan gari. Salah seorang netizen, Adrina Price berkata:"Sedih melihat George bermain dengan sepucuk pistol ketika seluruh negara berdepan situasi jenayah menggunakan pistol dan juga pisau. "Mungkin berlatih untuk membunuh hidupan liar pada masa akan datang. Saya ingatkan dia seorang kanak-kanak yang sensitif. Lebih baik jika dia dilihat bermain dengan kereta mainan atau bola sepak. Malangnya kerabat diraja ini tidak akan pernah berubah." George amat dikenali dengan minatnya terhadap polis. Semasa majlis resepsi pada Mac lalu bagi meraikan Polis Metropolitan, seorang pegawai dalam nada berseloroh memberitahu anak-anak Putera William boleh menyertai kadet polis. Kemudian Putera William berkata, anaknya itu amat meminati kerjaya polis ketika ini.