SEORANG kanak-kanak perempuan terpaksa menjalani rawatan pemulihan selepas ketagih permainan komputer. Ibu mangsa Carol, 36, berkata dia dan suaminya, Richard membeli alat permainan Xbox untuk anak perempuan mereka pada Januari lalu. Selepas mendapat hadiah tersebut, kanak-kanak itu telah memuatnaik permainan Fortnite. Namun pada pertengahan Mac lalu, pasangan suami isteri itu dihubungi guru besar anak mereka yang mendedahkan prestasi kanak-kanak itu jatuh merudum dan dia sering tertidur di dalam kelas. Kanak-kanak itu sering mengadu keletihan untuk pergi ke gim atau kelas tarian balet. Dan Carol menyedari terdapat pembayaran tetap kepada Microsoft sebanyak 50 pound sterling sebulan di penyata bil kad kredit mereka. Marah dengan perlakuan anak mereka, ibu bapa itu bertindak merampas Xbox terbabit. Kanak-kanak itu kemudiannya memukul bapanya di muka. Namun lebih teruk lagi, ibu bapa kanak-kanak itu menyedari anak mereka sanggup kencing di atas kusyen gara-gara tidak mahu meninggalkan permainan tersebut. "Saya dapati bahagian belakangnya melecet. Dia terlalu ketagih sehingga tiada masa untuk pergi ke tandas," kata Carol. Geram dengan perbuatan itu, pasangan terbabit bertanya kepada anak mereka mengenai insiden tersebut. Mereka terkejut apabila kanak-kanak itu mendedahkan dia bermain permainan tersebut selama 10 jam sehari. Sejak Fortnite dikeluarkan pada Julai tahun lalu, lebih 40 juta telah memuatnaik permainan itu.