ORANG ramai yang kebanyakan kini lebih berhati-hati apabila berbelanja, menyebabkan banyak peniaga atau perniagaan terjejas. Salah seorang peniaga yang berdepan nasib seperti ini adalah pemilik kedai buku bebas dari Harrogate, North Yorkshire. Pemilik kedai buku Imagined Things, Georgia Duffy mengadu tentang nasibnya di Twitter untuk memberitahu tentang 'hari terburuk' dirinya apabila tidak mendapat banyak untung. Dia menulis: "Kami hanya dapat £12.34 hari ini. Jika sesiapa yang mahu beli buku, datanglah sekarang. "Sejak akhir-akhir ini keadaan begitu sukar, hari ini adalah hari paling teruk. "Sekeping kad, sebuah buku, apa-apa sahaja mampu memberikan perbezaan besar kepada perniagaan kecil seperti kami, kami sangat berterima kasih atas sokongan anda." Tidak banyak yang diharapkan Duffy apabila dia menulis tweet itu, tetapi apa yang berlaku seterusnya adalah luar biasa. Beribu-ribu orang melihat posting itu, dengan lebih dari 4,000 membuat perkongsian dan 5,000 menyukainya. Kedai itu terus 'dihujani' dengan pesanan. Bercakap kepada BBC, Duffy berkata: "Saya tak pernah sangka posting itu akan tular dan mendapat respons seperti itu. "Ramai sangat yang berhubung dengan saya, menghantar mesej, mereka buat pesanan dan ada juga yang hanya beri sumbangan, itu sangat mengagumkan." Selain peningkatan jualan, pengarang Alison Pearson juga telah berhubung dengannya untuk kerjasama. Duffy berkata ia adalah 'idea yang baik' dan berharap ia dapat dilaksanakan. Imagined Things dibuka di Westminster Arcade pada Julai 2017. Ia adalah kedai buku bebas pertama yang dibuka di Harrogate dalam masa hampir 20 tahun. -Mirror