suria

Penyelam temui bangkai kapal dipercayai bawa jongkong emas AS$113 bilion

SEKUMPULAN penyelam menemui bangkai kapal perang Rusia, Dmitrii Donskoi yang tenggelam bersama 5,500 kotak jongkong emas dan syiling pada 1905 di perairan kepulauan Ulleungdo, Korea Selatan.

Keseluruhan harta karun yang dibawa dalam kapal berkenaan dianggarkan bernilai AS$133 bilion.

Bangkai kapal yang rosak teruk itu dikesan di kedalaman 434 meter, kira-kira 1.3 kilometer dari Ulleungdo pada Ahad pagi.

Syarikat berpangkalan di Korea, Kumpulan Shinil telah beberapa tahun cuba mengesan kedudukan kapal itu bersama pakar dari Korea Selatan, China, Britain dan Kanada.

Operasi kali ini akhirnya berjaya mengesahkan bangkai itu adalah kapal yang dibina di St Petersburg dengan beratnya mencecah 5,800 tan.

Dmitrii Donskoi yang beroperasi di Laut Mediteranian tenggelam selepas bertembung dengan kapal Jepun.

Dalam kejadian itu, antara 60 hingga 591 kru kapal itu terkorban, manakala 120 yang lain cedera, sebelum Kapten Lebedev mengarahkan ia berlabuh di Ulleungdo.

Bagaimanapun, tindakannya itu mengakibatkan mereka diserang Jepun dan sejumlah besar kru telah ditawan, manakala Lebedev pula maut akibat mengalami kecederaan teruk.

Susulan penemuan itu, syarikat berkenaan sedang merancang untuk mengapungkan kapal berkenaan pada Oktober atau November ini.

"Malahan pihak kami juga mencapai kata sepakat dengan kerajaan Rusia untuk berkongsi harta karun yang ditemui dalam kapal itu kelak," kata syarikat itu.

Selain itu, 10 peratus daripada nilai barangan yang ditemui akan digunakan untuk projek pelancongan di Ulleungdo termasuk membina muzium sempena kapal dan kru yang terkorban.
Dmitrii Donskoi, Ulleungdo

Artikel Lain