GORAKHPHUR: Polis di daerah Deoria, India menahan seorang remaja perempuan selepas dia dituduh cuba mencampur racun dalam kuah dal yang sepatutnya menjadi hidangan makan tengah hari di sekolahnya. Dalam insiden di Kampung Baulia pada Selasa lalu, gadis berkenaan dipercayai bertindak sedemikian kerana mahu membalas dendam ke atas kematian adik lelakinya. Gadis berkenaan didakwa meletakkan racun itu ke dalam kuah dal. Pelajar di sekolah tersebut bagaimanapun bernasib baik apabila perbuatan gadis berkenaan disedari tukang masak. Susulan itu, penduduk kampung yang berang bertindak mengepung sekolah itu dan turut membelasah ibu remaja terbabit. "Kami percaya motif utamanya adalah untuk membalas dendam. Adiknya yang belajar disekolah sama telah dipukul sehingga mati oleh lima rakan sekelas pada 2 April lalu. "Jadi, dia buat keputusan untuk membunuh semua pelajar di sekolah tersebut dan kami telah melakukan persiapan untuk menghantar gadis itu ke rumah juvana," kata penyiasat polis, Devendra Singh Yadav. Katanya lagi, kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 328 IPC, cubaan mendatangkan kemudaratan menggunakan racun. Polis turut menahan ibu gadis berkenaan bagi membantu siasatan.