BIARPUN usianya baru mencecah lapan bulan, si cilik ini menarik perhatian ramai kerana memiliki rambut yang lebat dan panjangnya 15 sentimeter (sm). Malah, bayi yang dinamakan Primrose Autumn Loveridge itu turut menerima aksesori rambut dari 20 syarikat. Ibunya, Beccy May Cooper, 29, dari Somerset berkata, orang ramai sering terpegun dengan keunikan rambut anaknya. Selain memiliki rambut yang unik, dia juga pandai bergaya didepan kamera. "Saya memanggilnya dengan nama Posy sebab dia suka berposing depan kamera. "Dia juga sangat seronok setiap kali saya menggunakan pengering rambut untuknya. "Kalau saya bawa dia ke kedai, mesti ramai yang akan berhenti untuk melihat Posy dengan lebih dekat," ujar Beccy. Malah, orang ramai yang menemui mereka turut mengakui jarang melihat bayi dengan rambut selebat itu. Biarpun mendapat perhatian ramai, bayi itu tidak merengek malah sangat mesra dengan orang yang tidak dikenali. "Ada orang pernah hulurkan tangan kepada Posy. Dia pegang dan tak mahu lepaskan. "Dia memang sentiasa ceria dan bagai mahu berkata sesuatu," dedah ibunya lagi. Sementara itu, Beccy dan tunangya, Andrew Loveridge, 24, mengakui tidak percaya dengan kelebatan rambut anak mereka sewaktu dia dilahirkan. Malah, ahli keluarga terdekat mereka juga agak terkejut dengan rambut yang dimiliki Posy sejurus dia keluar dari perut ibunya. Berkongsi mengenai penjagaan rambut, Beccy mendedahkan dia menggunakan shampoo kanak-kanak dan rambut Posy dicuci setiap hari. - Daily Mail