JIKA sebelum ini dia kurang keyakinan diri kerana memiliki tanda lahir di wajahnya, tetapi kini Anne Antonelli dari Oklahoma, Amerika Syarikat telah membuat keputusan untuk mengekalkan keunikan itu. Kes wanita berusia 43 tahun ini dikatakan hanya berlaku satu dalam 3,000 orang yang menyebabkan pembentukan saluran darah pada kulit sehingga wajahnya kelihatan mempunyai tompok merah jambu, merah dan ungu. Dua tahun lalu, Anne menyertai sesi penggambaran professional dan fotonya tular di laman sosial. Berterima kasih dengan nasib yang menimpa dirinya, dia menerima banyak maklum balas positif dan Anne mula selesa dengan keadaan wajahnya. Malah, dia turut membatalkan hasrat untuk membuang tanda lahir itu. Akauntan ini juga tidak lagi menganggap keadaan dirinya sebagai satu 'kecacatan'. Malahan, dia tidak lagi berasa rendah diri, sebaliknya begitu bangga dan yakin untuk keluar bertemu orang ramai. "Saya dapat banyak mesej positif dari internet dan mereka suka rupa paras saya. "Saya juga menemui ramai kawan yang ada tanda lahir sama dan ia sangat menyeronokkan. Dulu saya tak jumpa sesiapa seperti saya sewaktu sedang membesar. "Saya terima hakikat yang persepsi orang tiada kaitan pun dengan saya. Saya ada kerjaya dan kehidupan, tak perlu kisah pasal wajah saya," ujarnya. Menggambarkan dirinya sebagai seorang wanita yang kuat, Anne berkata dia lebih fokus kepada kerjayanya dan tidak begitu memikirkan soal jodoh. - Metro.UK