SEORANG lelaki telah membuatkan rakan-rakan dan saudara-maranya marah selepas berlakon mati dan mengumumkannya di Facebook dalam satu kejadian di Thailand. Dia juga menyuruh isterinya meminta sumbangan untuk upacara pengebumiannya. Rakan-rakan Facebook Tachawit J yang selama ini menganggap dirinya sihat, terkejut apabila isterinya menyiarkan beberapa gambar mayat suaminya di laman Facebooknya, lengkap dengan bebola kapas di lubang hidungnya. Dia menulis kapsyen, 'foto terakhir sebelum menyahaktifkan Facebooknya, sayang kamu!'. Rakan-rakan Tachawit yang prihatin meninggalkan komen bertanya apa yang telah berlaku kepadanya. Isterinya menjawab suaminya meninggal dunia akibat kanser dan asma setelah lama menanggung penderitaan. Beberapa kenalan lelaki itu menulis bahawa mereka tidak tahu tentang penyakitnya, yang mana si isteri menjelaskan bahawa selama ini dia 'sering berpura-pura OK'. Ketika berita kematian dan kisah tragik Tachawit tersebar dalam kalangan keluarga dan sahabatnya, mereka mula menelefon isterinya dan menawarkan bantuan serta sokongan. Tetapi wanita berkenaan tidak hanya menunggu untuk dihubungi, sebaliknya mengambil inisiatif menghubungi semua yang mengenali Tachawit dan meminta wang daripada mereka untuk menampung kos pengebumian. Pasangan 'si mati' yang tidak didedahkan identitinya itu juga menghubungi ibu mertuanya untuk menyampaikan berita sedih tersebut dan meminta bantuan kewangan. Ibu mertuanya berjaya mengutip sebanyak THB20,000 (RM2,400) dan keesokan harinya menyerahkan wang itu kepada menantunya yang kononnya sudah bergelar janda supaya dia dapat membayar duit keranda dan mayatnya dapat dibawa pulang ke kampung. Ibunya juga menghubungi kuil tempatan untuk mengatur jadual dan urusan pengebumian. "Isterinya menghubungi saya dan beritahu dia telah mati," kata ibu Tachawit baru-baru ini kepada wartawan. "Dia beritahu tak ada duit untuk upacara pengebumian, jadi saya menghantar wang kepadanya pada hari yang sama." Keesokan harinya, mayat Tachawit sepatutnya dihantar ke rumah ibunya supaya saudara-saudaranya dapat memberi penghormatan terakhir, tetapi ia tidak muncul. Ketika masa pengebumian semakin dekat, salah seorang sepupu Tachawit memutuskan untuk menghubungi isterinya dan bertanya tentang kelewatan mereka. Dia bagaimanapun terkejut apabila sepupunya yang sudah mati itu menjawab panggilannya, tetapi memutuskan percakapan sebaik sahaja menyedari siapa yang menghubunginya. Keluarga lelaki itu terpaksa membatalkan perkhidmatan pengebumian dan dilaporkan rugi THB60,000 (RM7,200). Ibunya mengaku bahawa dia telah memutuskan hubungan dengan anak lelaki dan isterinya kerana menipu. Tachawit menjadi tajuk utama berita negara minggu ini, mendorong beberapa rakan tampil untuk mengesahkan tentang kejadian ini. Warit M yang pernah menjadi rakan sekerja Tachawit, memberitahu media bahawa dia pernah mencuri dompet rakan sekerja yang lain selepas mengetahui bahawa lelaki itu merancang untuk menderma sejumlah besar wang kepada kuil. Tachawit dan isterinya 'diam' di Facebook selepas rahsia mereka terbongkar namun rakan-rakan dan keluarga mereka terus menyuarakan kemarahan di media sosial. "Kamu tak guna, kami menyesal pergi ke sekolah dengan kamu. Kami rasa terhina dengan apa yang berlaku. Jangan tunjuk muka depan kami. Kalung bunga ini untuk kamu. Pergi ke neraka," salah seorang bekas rakan sekolah lelaki itu mengulas di laman Facebooknya. Walaupun tidak ada aduan polis dibuat pada masa ini, peguam selebriti Thai Gerdphol Geawgerd memberitahu pemberita bahawa Tachawit dan isterinya berdepan risiko denda sehingga THB160,000 (RM19,400) dan atau sehingga 10 tahun penjara. Menariknya, Tachawit tidak memadam mana-mana gambar mayatnya di akaun Facebooknya, malah menunjukkan kekesalannya dengan menggantikan kapsyen asal isterinya dengan kapsyen 'Maaf kerana begitu jelek'