ISTILAH ‘stalker’ mula digunakan pada abad ke-20, untuk menggambarkan gangguan yang terpaksa dihadapi oleh golongan selebriti gara-gara orang asing yang taksub dengan mereka. Masalah ini terus berlanjutan hingga hari ini, dengan tokoh-tokoh masyarakat seperti Ratu Elizabeth II dan Miley Cyrus menjadi buruan individu tertentu yang meminati mereka. 'Stalker' ini umumnya mengalami kesihatan mental tidak stabil, namun sangat bijak terutama dalam menjejaki sasaran mereka. Tetapi bagaimana pula jika anda hanya seorang manusia normal tetapi tetap menjadi sasaran 'stalker'? Imre Marton bekerja sebagai pemandu bas di Oxfordshire, England ketika dia pertama kali berdepan dengan stalkernya. -foto BBC Charlie Howells akan menaiki bas di laluan bas yang dipandu Marton selama berjam-jam. Setelah berbulan-bulan melakukannya, dia akhirnya mendekati pemandu bas yang diminatinya itu semasa dia sedang makan tengah hari. Marton masih ingat bagaimana Howells kelihatan sangat gementar, sehingga dia kelihatan menggigil. Howells dengan cemas menjelaskan betapa dia menyukai Marton dan mengajaknya keluar. Marton dengan sopan menjawab bahawa dia tidak mencari hubungan lain kerana dia sudah mempunyai seorang teman wanita. Terlalu terkejut, Howells segera menangis. "Dia mula menangis, macam anda tengok budak kecil di kedai gula-gula. Saya tak pernah tengok orang dewasa meraung macam tu," kata Marton baru-baru ini. Insiden gangguan ini hanyalah permulaan kepada masalah Marton. Selepas ditolak, Howells semakin giat memburu Marton. Dia menghafal jadual kerja Marton dan sentiasa mengekorinya. "Ke mana saya pergi dia ada di sana. Dia sentiasa beberada beberapa langkah di belakang saya. Ia benar-benar menyeramkan," kata Marton. Justeru Marton mengambil beberapa langkah untuk mengelakkan diri daripada Howells, tetapi ia tidak menjadi! Walaupun dia mengadu dengan majikannya dan menukar laluan basnya, wanita itu masih dapat mengesannya. Bukan sahaja menemui laluan barunya, Howells juga menemui akaun media sosialnya dan juga berjaya mendapatkan alamat rumahnya. Kesemua ini membuatkan Marton sangat tertekan. Hubungannya dengan teman wanitanya terputus dan dia hidup dalam ketakutan kerana perilaku Howells yang menjadi semakin 'ganas'. Pada satu ketika, Howells muncul di depan pintu rumahnya dan ada satu masa dia mengancam untuk mengelar lehernya. Ini mendorongnya untuk membeli baju kalis tikam yang terus dipakai hingga ke hari ini. -foto BBC Walaupun tindakan Howells menjadi semakin membimbangkan, Marton menghadapi masalah untuk menarik perhatian orang ramai betapa seriusnya masalah yang dihadapi. Apabila dia mula melaporkan tentang Howells kepada polis, seorang polis sambil tersenyum bertanya: "Apa jenayahnya?" Apabila Howells akhirnya menerima amaran rasmi daripada polis, keadaan menjadi lebih buruk. Selepas beberapa lama, Marton dapat meyakinkan pihak polis tentang betapa serius keadaan yang dihadapi. Howells kini sedang menjalani hukuman penjara selama 3 tahun kerana berulang kali melanggar perintah larangan. -foto BBC Hukuman penjara ini, bagaimanapun, menawarkan sedikit keselesaan: "Ia hanya memberikan lebih banyak masa untuk merancang apa yang akan dilakukannya seterusnya dan itu mengejutkan saya." Kehidupan Marton kucar-kacir kerana pengalaman ini dan dia hampir muflis. Dia menganggarkan sejak berdepan masalah ini dia telah rugi kira-kira £10,000 setiap tahun akibat perubahan pekerjaan, terlepas syif dan menghindari kerja lebih masa. Keadaan Marton bagaimanapun tidaklah terlalu pelik kerana dianggarkan sekitar 1 dari 5 wanita dan 1 dari 10 lelaki akan mengalami situasi seperti ini dalam hidup mereka. Howells terus mengejar Marton dari penjara. Tahun lepas, selepas dia mendedahkan bahawa dia memakai jaket kalis tikaman setiap hari, wanita itu menulis kepadanya: "Sekarang Charlie tahu di mana untuk tidak menikam kamu...Kamu fikir hidup kamu dalam bahaya sebelum ini, ramai yang akan buru kamu sekarang. Saya akan tak akan senang duduk kalau saya kadi kamu, kamu telah diberi amaran!!!!" "Saya tak pernah berasa selamat. Saya tahu dia tidak akan berhenti dan ini tidak akan berakhir. Saya hidup dalam ketakutan, sentiasa rasa tak selamat," kata Marton kepada Mirror. "Saya yakin pada suatu hari dia akan membunuh saya. Ia adalah matlamat akhir untuknya. Misinya adalah untuk kami mati bersama. "