MOSCOW: Jawatankuasa Siasatan Rusia, agensi penyiasatan utama negara itu, pada Rabu berkata ia sedang menyiasat kes pembunuhan tiga wartawan Rusia di Republik Afrika Tengah (CAR) pada Isnin. Orkhan Dzhemal, Alexander Rastorguev dan Kirill Radchenko, dikatakan sedang menyiasat sebuah filem berkaitan syarikat tentera swasta Rusia ketika mereka diserang hendap dan dibunuh oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali kira-kira 200 kilometer di timur laut ibu negeri Bangui. Ketiga-tiga wartawan Rusia itu dalam perjalanan untuk bertemu orang hubungan tempatan mereka, lapor agensi berita China Xinhua memetik pertubuhan berita online Rusia, Investigation Control Centre, pada Isnin. Pemandu mereka berjaya melarikan diri dan memaklumkan pihak berkuasa tempatan mengenai serangan itu. Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova melahirkan keraguan berhubung kehadiran ketiga-tiga wartawan di CAR, dan berkata ia adalah "satu persoalan terbuka" berhubung apa yang sebenarnya mereka lakukan di negara Afrika itu. Pada Rabu, beliau menulis di Facebook bahawa ketiga-tiga wartawan telah melakukan perjalanan ke CAR menggunakan visa pelancong dan mengabaikan amaran agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan agar tidak meninggalkan zon selamat. Kementerian Luar Rusia berkata Kedutaan Rusia di CAR juga tidak dimaklumkan mengenai kehadiran mereka di republik itu. Ia berkata petugas mereka telah berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengetahui bagaimana kematian itu berlaku. Mereka turut membuat persiapan untuk menghantar pulang mayat mangsa ke Rusia.Pada awal tahun ini, Rusia telah menghantar sejumlah kecil senjata dan peluru serta lima jurulatih tentera dan 170 jurulatih awam ke CAR, menurut Kementerian Luar Rusia pada April. Perkara itu dilakukan dengan persetujuan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.- Bernama