suria

'Budak ajaib' cedera ringan jatuh dari tingkat 17, keluarga tetap dikecam

Bayi ini hanya mengalami kecederaan kecil walaupun terjatuh dari apartmen tingkat 17.

PASUKAN perubatan terkejut apabila seorang bayi perempuan warganegara China terselamat setelah jatuh dari bangunan apartmen 17 tingkat di negara itu.

Berdasarkan maklumat, Young Yueyue, 2, ditinggalkan bersedirian oleh neneknya yang keluar membeli barangan runcit sebelum terjatuh melalui tingkap, 11 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, dia tersangkut di dahan pokok sebelum jatuh di atas tanah lembut yang baru dibasahi hujan.

Disebabkan itu, dia hanya mengalami kecederaan ringan.

Selepas terjatuh, Yueyue dapat bangun dan berjalan kembali ke bangunan sambil menangis untuk mendapatkan bantuan, menurut laporan.

Neneknya yang baru pulang ke rumah dan melihat Yueyue hilang terkejut melihat jiran-jirannya berkerumun di sekeliling cucunya yang sedang menangis di tingkat bawah.

Neneknya kemudian menelefon ibu bapa Yueyue sebelum dia dibawa ke Changzhou Childres's Hospital.

"Kami sangka dia mengalami kecederaan teruk, tapi syukurlah dia baik-baik sahaja.

"Tiada kecederaan serius pada organ atau retak teruk di mana-mana bahagian tulang.

"Dia langsung tidak kelihatan seperti terjatuh dari bangunan 17 tingkat," ujar doktor yang merawatnya.

Sementara itu, keluarga bayi itu turut menerima kecaman orang ramai yang menganggap insiden tersebut berpunca daripada kecuaian mereka sendiri.

"Mereka sepatutnya memasang jeriji pada tingkap," tulis seorang netizen.

"Sepatutnya ahli keluarga lebih berhati-hati khususnya melibatkan bayi pada usia semuda itu," tulis seorang lagi netizen. -DailyMail

Bayi, China

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain