NEW DELHI: Seorang wanita berusia 32 tahun di India tergamak membunuh bayinya yang baru lahir gara-gara jantina. Bayi itu merupakan anak perempuan ketiga suspek. Menurut pihak berkuasa, suspek, Reeta Devi berkata, dia sering bertengkar dengan suaminya tentang kelahiran dua anak perempuan mereka sebelum ini. "Oleh itu, dia tidak lagi mahu anak perempuan. Polis telah mendaftarkan ia sebagai kes bunuh selepas laporan autopsi menunjukkan bayi tersebut telah dicekik hingga mati. "Devi telah ditangkap selepas tiada bukti menunjukkan suaminya, Asharfi Mahto melakukan perbuatan itu," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis, Vijay Kumar. Siasatan awal mendapati Devi melahirkan bayi perempuan yang sihat kira-kira pukul 3.50 pagi (waktu tempatan) di sebuah hospital di Montinagar pada Ahad lalu. "Doktor mendapati kedua-dua mereka berada dalam keadaan sihat ketika pemeriksaan dilakukan pada pukul 7 pagi. "Namun dua jam selepas itu, Devi mendakwa bayinya tidak lagi bergerak dan doktor mendapati terdapat kesan hitam pada hidung dan bibir bayi terbabit sebelum mengesahkan ia sudah meninggal dunia," jelasnya lagi. Susulan itu, doktor telah melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa kerana mengesyaki bayi terbabit dibunuh. Menurutnya lagi, Devi dipercayai melakukan perbuatan kejam itu ketika ditinggalkan bersendirian dengan anaknya. - The Hindustan Times