suria

Bomoh dicekup, wanita dikurung dalam lubang akhirnya bebas

Bomoh berusia 83 tahun itu ditahan pihak berkuasa setelah penemuan wanita itu pada Ahad. FOTO: MUHAMMAD SABRAN.

SETELAH 15 tahun dikurung dalam sebuah lubang di Sulawesi, Indonesia, seorang wanita berusia 28 tahun akhirnya berjaya diselamatkan pihak polis.

Siasatan yang dijalankan ke atas seorang bomoh bernama Jago membawa kepada penemuan wanita itu di dalam lubang sedalam 1.5 meter.

Menurut polis, Jago, 83, mengaku menyembunyikan mangsa dan menjadikan dia sebagai korban kepada makhluk halus.

"Kami temui mangsa duduk di antara batu-batu dalam lubang itu. Kami sedang menyiasat kes ini.

"Berdasarkan penemuan awal, mangsa mungkin disembunyikan untuk tujuan seksual bomoh itu," ujar ketua polis Tolitoli, M. Iqbal Alqudusy kepada The Jakarta Post pada Isnin.

Mangsa disembunyikan di lokasi ini selama 15 tahun oleh bomoh tersebut.

Dalam pada itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai HS memberitahu pihak berkuasa bahawa dia sudah beberapa kali tidak datang haid.

Sepanjang tempoh itu, dia diberi ubat oleh lelaki tua itu untuk menggugurkan kandungannya.

Menurut Iqbal, Jago dikenali ramai di kampungnya kerana berkeupayaan dalam perubatan tradisional.

"Sewaktu dia membuat rawatan, Jago akan bertindak seperti dia sedang dirasuk, ramai orang percayakannya.

Menurut seorang penduduk kampung, Jago memperdaya HS sejak dia berusia 13 tahun.

Jago juga dikatakan menabur janji untuk mengahwinkan HS dengan jin yang juga sahabatnya.

"Mangsa kelihatan seperti telah terpedaya dengan orang tua itu. Dia takut untuk lari kerana fikir sedang diperhatikan jin penjaga," ujar pemuda tersebut.

HS hilang pada 2003, namun Jago memberitahu ibu bapa wanita itu bahawa dia sudah berpindah ke Jakarta untuk mencari kerja.

Bagi meyakinkan mereka, Jago turut menghantar bekalan makanan sebagai bukti hasil pendapatan HS di Jakarta.

Dalam pada itu, kakak HS dipercayai tahu mengenai adiknya namun memilih untuk berdiam diri kerana dia merupakan menantu Jago.

Kes itu bagaimanapun terbongkar setelah seorang jiran membuat laporan polis apabila mendengar perbalahan kakak HS dengan suaminya yang mengugut untuk membongkar kes itu.

Jago kini ditahan dan disiasat dibawah Artikel 76e, undang-undang perlindungan kanak-kanak 2014. Beberapa dakwaaan jenayah lain juga bakal dikenakan ke atas bomoh itu.

Kakak HS dan suaminya turut ditahan untuk membantu siasatan. - The Jakarta Post.

Bomoh, Sulawesi, Indonesia

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia