suria

Pengantin lelaki dengar 'arahan' isteri, terjun laut selamatkan remaja hanyut

SEORANG pengantin lelaki sanggup meninggalkan majlis perkahwinannya untuk menyelam ke laut dan menyelamatkan remaja yang lemas.

Pegawai penjaga pantai, Zac Edwards, 37, sedang bergambar dengan pasangannya, Cindy Edwards, 32, dan terdengar seorang wanita menjerit melihat Jamel Robinson, 18, sedang lemas.

Edwards memberitahu Good Morning America bahawa Cindy memberitahunya bahawa dia terpaksa berenang dan menyelamatkan budak itu, sambil menambah: "Awak perlu dengar cakap isteri, atau awak akan berdepan masalah."

Edwards terus membuka bajunya dan ketika mahu menanggalkan seluarnya Cindy memberitahunya bahawa dia sudah tiada masa kerana ketika itu Robinson sedang hanyut jauh dari pantai.

Edwards menyelam tanpa menanggalkan seluarnya manakala Cindy pula meredah ombak dengan baju dress yang dipakainya.

Remaja itu telah ditarik oleh arus deras di Shell Beach di Gulf State Park pada pukul 6 petang, 3 Ogos lalu.

Edwards berjaya sampai kepada remaja itu dan menyandarkannya ke satu papan untuk memastikan kepalanya berada di atas air.

kedua-dua mereka menuju ke arah pantai melawan arus tetapi Cindy, seorang pengurus jualan, bimbang suaminya penat.

Dia dapat melihat pasangan itu bergerak semakin perlahan dan akhirnya berhenti bergerak kerana arus berbahaya terus menarik mereka.

Tetapi nasib baik penyelamat dari Jabatan Bomba Orange Beach dan Orange Beach Surf Rescue tiba tidak lama kemudian.

Edwards membantu remaja itu naik ke jetski sebelum dia melompat dan kembali ke pantai.

"Saya dan Cindy sedang bergambar di pantai dan kami terus meninggalkan sesi itu apabila seorang wanita beritahu ada seorang remaja sedang lemas.

"Mukanya sahaja boleh nampak dia dalam kesulitan. Masa mula-mula melihatnya dia berada pada jarak kira-kira 50 meter," kata Edwards.

Pasangan itu, yang telah bersama selama setahun sebelum berkahwin mengejutkan 35 tetamu mereka ketika mereka tiba di majlis resepsi di The Gulf, Orange Beach dengan baju yang basah lencun dan berpasir.

"Tetamu kami sangat hairan apabila kami tiba di majlis resepsi. Saya basah dan gaun saya penuh pasir," kata Cindy.

Edwards menambah: "Saya tidak membawa pakaian tambahan ke majlis perkahwinan tetapi saya mempunyai beberapa helai seluar pendek jadi saya memakainya.

"Pakaian saya tidak secantik pengantin perempuan tetapi apa yang saya pakai lebih selesa daripada seluar saya yang sebenarnya."

Pastor Glenn Henson yang merasmikan majlis perkahwinan itu memuji pengantin lelaki kerana keberaniannya.

Glenn berkata: "Ia luar biasa.

"Apabila lelaki ini menggunakan masanya pada hari istimewanya untuk menyelamatkan orang lain adalah sangat istimewa," katanya.

pengantin, lemas

Artikel Lain