suria

Pasar Tsukiji akan ditutup, lelongan ikan tuna tidak dibuka untuk pelancong lagi

TSUKIJI, pasar ikan terkemuka Tokyo akan menutup pintu kepada pelancong ketika berlangsungnya acara lelongan pada awal pagi mulai bulan depan.

Langkah itu sebagai persediaan sebelum berpindah ke lokasi baru pada 11 Oktober depan.

Selepas lebih 80 tahun beroperasi, Tsukiji yang juga pasar ikan terbesar dunia yang turut menempatkan banyak restoran dan kedai akan berpindah ke Toyosu.

Pasar itu dibuka pada 1935 dan terkenal dengan lelongan ikan tuna di waktu subuh untuk bekalan restoran bertaraf lima bintang hingga ke kedai runcit.

Acara lelongan yang menarik perhatian pelancong itu bermula pukul 5.20 pagi setiap hari dengan kehadiran kira-kira 120 pengunjung asing.

Walaupun bermula pada waktu subuh, namun pengunjung mulai berbaris sejak pukul 2 pagi lagi.

Lelongan untuk ikan tuna akan berakhir pada 15 September, manakala pasar borong untuk produk marin dan sayur akan tamat beroperasi pada 29 September sebelum keseluruhan pasar Tsukiji ditutup pada 6 Oktober.

"Di Toyosu, kami merancang untuk membina ruang kaca untuk pelancong menyaksikan acara lelongan ikan tuna," kata jurucakapnya.

Sebaik selesainya proses perpindahan pasar itu, Tsukiji akan ditransformasi menjadi hub pengangkutan menjelang berlangsungnya Olimpik 2020 di Tokyo.-SMCP

tuna, Tsukiji, Toyosu

Artikel Lain