DUA daripada empat pelancong yang merosakkan pembentukan tanah berusia 200,000 tahun di geopark Zhangye yang terletak di tengah wilayah Gansu, China dan berlagak dengan kelakuan itu melalui video yang dimuat naik ke laman sosial Douyin, akhirnya menyerah diri ke balai polis tempatan pada Selasa malam. Dua pelancong itu ialah Li, 20, yang memuat naik video tersebut dan seorang lagi ialah Xu, 17. Identiti kedua-dua mereka sedang disiasat oleh pihak polis, menurut laporan oleh Kerajaan Zhangye. Video yang sudah dipadam itu pada awalnya disiarkan pada pagi Selasa. Berdasarkan salinan 'cache' oleh portal berita The Paper yang berpengkalan di Shanghai, dua lelaki dan seorang wanita, tidak termasuk seorang perakam dilihat berjalan di atas pasir berwarna merah dan kuning yang menjadi identiti pembentukan tanah di Danxia. Kawasan pergunungan Danxia yang berwarna-warni. Video tersebut dimuat naik berserta kapsyen: "Perkara baik perlu dikongsi dua kali: kami masuk ikut pintu belakang, tidak perlu bayar tiket dan ia nampak lagi indah tanpa membeli tiket," lapor The Paper. Ketika rakaman itu dibuat, seorang daripada pelancong itu berlagak dan berkata, "Saya merosakkan pembentukan berusia 6,000 tahun." Dalam sebuah lagi klip berasingan, seorang pelancong dilihat mengorek tanah menggunakan kakinya. Lapisan bawah pembentukan tanah Danxia di Zhangye bermula sejak zaman batu kapur, iaitu kira-kira 40 juta ke 100 juta tahun lampau, kata Liang Xiaofeng, seorang pembantu penyelidik di Institut Geologi dan Geofizik Akademi Sains China. "Ia adalah era Dinosaur Corps Koseidon," katanya kepada South China Morning Post pada Rabu. Lapisan pasir yang dirosakkan oleh para pelancong itu adalah kesan hakisan dan ia dianggarkan terbentuk kira-kira 200,000 ke 400,000 tahun lalu, katanya. - The Star