HANYA dua minggu selepas polis menangkap sekumpulan penyelam yang 'menunggang' ikan jerung di Papua Barat, Polis Jogjakarta kini memohon maaf bagi pihak tiga pegawainya yang dirakam memijak dan berposing di atas bangkai seekor lagi jerung. Akaun Twitter Polis Jogjakarta pada Isnin telah memaparkan video yang menunjukkan bagaimana bangkai seekor ikan jerung besar yang terdampar di Pantai Parangkusumo di Kabupaten Bantul, Indonesia ditanam pada petang Isnin. Video itu menyatakan bahawa jengkaut untuk menggali lubang yang sangat besar bagi memuatkan bangkai berukuran 4 meter panjang dan berat 1 tan diperlukan untuk proses itu yang mengambil masa selama kira-kira dua jam. Satu tweet susulan kemudian muncul: "Berhubung kejadian tiga anggota kami yang dirakam naik ke atas badan jerung yang sudah mati itu, kami memohon maaf. Tidak ada maksud tertentu atas peristiwa tersebut." Berikut adalah gambar kontroversi itu yang mana laporan media menyatakan ia menjadi tular apabila dikongsi dalam kumpulan Facebook untuk penduduk Yogyakarta. Juga terdapat video pegawai-pegawai bersama bangkai tersebut. Jurucakap Ketua Polis Daerah Jogjakarta Yuliyanto mengesahkan foto tersebut dan menyatakan para pegawai menyesal dengan apa yang dilakukan. Walau bagaimanapun, mereka tidak mungkin berdepan sebarang tindakan undang-undang. "Sebenarnya, tidak ada peraturan yang dilanggar dalam kejadian itu," kata Yuliyanto pada Selasa memetik Viva, sambil menambah para pegawai akan tetap disiasat secara dalaman dan diberi hukuman yang sesuai.