suria

Suntik sendiri sperma kawan baik 'gay' guna picagari murah, wanita ini hamil dua kali

-foto PA Real Life/Metro UK

SEORANG wanita berjaya hamil apabila dia dan sahabat baik ‘gay’nya hanya menggunakan jarum suntikan berharga £3 (RM15.80) yang dibeli di Amazon.

Kerry Allen dan Ali Thomson membuat satu rancangan untuk mempunyai bayi bersama semasa mereka mabuk apabila kedua-dua mereka mengakui tidak sabar untuk bergelar ibu dan bapa.

Mereka memutuskan untuk menggunakan pendekatan (buat sendiri) DIY dengan menyuntik sperma Thomson ke dalam vagina Allen menggunakan picagari yang dibeli di internet dan kotak plastik yang dibeli dari Morrisons.

Allen, 29, kemudian terus mengandung tetapi pada usia kandungan 19 minggu jantung bayi lelaki mereka, Elijah telah berhenti berdenyut dan dia melahirkan bayi itu pada Mei 2017.

Tetapi pasangan itu memutuskan untuk menggunakan taktik yang sama sekali lagi dan sekarang mereka mempunyai seorang bayi perempuan, Lanah, yang dilahirkan pada 23 Mei lalu.

Allen, yang tinggal bersama Thomson di Northumberland, berkata: "Menjadi ibu bapa adalah sesuatu yang kami mahukan sejak sekian lama dan melihat Lanah buat kali pertama, saya dapat merasakan kecintaan sepenuhnya.

"Hanya menggunakan alat picagari murah dari internet dan bekas plastik dari Morrison, kami mempunyai bayi yang menakjubkan."

Thomson, 27, yang bekerja sebagai pembantu bar dan Allen yang bekerja di Burger King sehingga kehamilannya, memberitahu bahawa mereka hanya mula rapat enam tahun lalu apabila bertemu di restoran makanan segera.

Mereka berpindah bersama pada tahun 2014 dan setahun kemudian, semasa mabuk, Allen mendapat idea itu.

"Saya selalu mahu menjadi ibu dan dapat rasakan sudah tiba masanya," katanya.

"Satu-satunya masalah adalah, saya tidak berada dalam hubungan dan tidak rasa bersedia untuk menjalinkan hubungan dalam tempoh masa yang lama kerana saya telah terluka sebelum ini.

"Ketika saya melihat Ali, saya tahu dia akan menjadi bapa yang sempurna. Dia baik hati, lucu dan pernah kata dia juga suka bergelar ayah suatu hari nanti jadi mengapa tidak melakukannya bersama?," katanya.

Pada Oktober 2016 pasangan itu memulakan proses untuk hamil dan Allen menjelaskan dia akan berbaring di tempat tidur dengan kakinya diangkat selama sejam setengah selepas memasukkan sperma Thomson kerana percaya cara itu dapat membantu.

Allen hamil selepas hanya empat percubaan tetapi pada Mei 2017, imbasan menunjukkan jantung bayinya berhenti berdenyut.

"Kami sama-sama kecewa, kerana merasakan impian kami untuk menjadi ibu bapa sudah berakhir," katanya.

Tetapi pada Ogos lepas, mereka memutuskan untuk mencubanya sekali lagi dan Allen terus hamil.

Pada 23 Mei Allen melahirkan Lanah Allen-Thomson dengan Thomson berada di sisinya.

"Bayi ini begitu sempurna. Cara Ali memandangnya membuatkan saya menyedari segala yang telah kami lakukan adalah betul."

-metroUK

picagari, hamil, sperma, gay

Artikel Lain