suria

Potong lidah, hidung, telinga sebab nak 'wajah tengkorak'

SEORANG pengukir tatu berusia 22 tahun dari Colombia, Kalaca Skull telah menjadi tajuk berita di seluruh Amerika Selatan kerana menjalani prosedur pembedahan ekstrim untuk mendapatkan wajah seperti tengkorak.

Dilahirkan sebagai Eric Yeiner Hincapié Ramírez, pengukir tatu muda itu mendakwa dia jatuh cinta dengan tengkorak sejak kecil tetapi hanya mula mengubah wajahnya selepas kematian ibunya dua tahun lalu kerana ibunya tidak pernah bersetuju dengan idea tersebut.

Mula-mula sekali, dia membuang separuh bahagian bawah hidungnya kerana tengkorak tidak mempunyai hidung.

Tengkorak juga tidak mempunyai telinga, jadi dia melakukan pembedahan memotong telinga.

Tetapi transformasinya tidak terhenti di situ. Selepas memotong dan membuat tatu berwarna biru-kelabu di lidahnya, dia juga melukis tatu hitam besar di sekitar matanya, selain gigi besar di sekeliling mulut dan pipinya.

Kalaca Skull adalah orang pertama di Colombia yang secara sukarela mahukan hidung dan telinganya cacat, keputusan yang menarik perhatian media serta banyak mendapat kritikan daripada orang awam.

Kebanyakan orang tidak faham mengapa ada individu yang mahu hidung dan telinga mereka dipotong tetapi lelaki berusia 22 tahun itu tidak minta mereka memahaminya, sebaliknya hanya meminta penerimaan mereka terhadap keinginannya.

"Pengubahsuaian badan adalah keputusan peribadi dan tidak boleh dihakimi," kata Kalaca Skull kepada Rio Noticias.

"Ia seperti menilai seorang wanita untuk mendapatkan implan payudara atau punggung."

Walaupun mendapat kritikan hebat, Kalaca Skull merancang prosedur lain untuk menyempurnakan transformasinya menjadi tengkorak hidup. Dia memanggil transformasi ini sebagai satu mimpi menjadi kenyataan.

"Bagi saya, satu tengkorak itu seperti kakak saya, sebahagian daripada keluarga saya, saya rasa sangat dekat dengannya," kata pemuda Colombia itu dalam temu bual.

Dia menambah sebab utama mengapa dia memilih untuk menjadikan dirinya kelihatan seperti tengkorak kerana semua orang berkongsi 'rupa' yang sama di bawah kulit wajah dan semasa kematian.

Kalaca Skull juga mengakui penampilannya yang luar biasa membuatkan ramai orang tidak selesa.

Ada juga yang sanggup menyeberang jalan apabila mereka melihatnya tetapi dia menegaskan walau apa pun yang difikirkan orang lain tentang dirinya, dia adalah seorang lelaki yang baik.

"Sebaliknya, saya seorang yang normal yang hanya kelihatan jauh berbeza dengan kebanyakan orang lain.

"Ia seperti perbezaan cara berfikir, berpakaian dan gaya muzik. Saya hanya rasa senang dengan cara saya," katanya.

tengkorak, bedah, ekstrem

Artikel Lain