GANJARAN sebanyak 100,000 dollar Australia (RM295,945) ditawarkan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang perosak strawberi Australia. Enam jenama strawberry keluaran negara itu mungkin tercemar dengan jarum dan pin. Menteri Queensland Annastacia Palaszczuk dikatakan telah mengeluarkan ganjaran tersebut kerana bimbang terhadap nasib para petani dan keselamatan pengguna. "Mereka bukan sahaja membahayakan nyawa orang, mereka mengancam seluruh industri," kata Palaszczuk kepada Queensland Times. Polis New South Wales berkata, jumlah insiden yang dilaporkan semakin meningkat, dengan enam jenama dipercayai disasarkan: Berry Obsession, Berry Licious, Love Berry, Donnybrook Berries, Delightful Strawberries dan Oasis. Pada mulanya tiga insiden di Queensland telah dilaporkan kepada polis pada Khamis. Salah satu kes melibatkan seorang lelaki yang makan strawberi dengan jarum di dalamnya. Mangsa telah diperiksa oleh pasukan perubatan namun keadaan terkini lelaki itu masih tidak diketahui. Polis menggesa pengguna yang membeli strawberry yang tercemar agar membawanya ke balai polis untuk pemeriksaan forensik. Pada Khamis, Persatuan Penanam Strawberry Queensland berkata, mereka mengesyaki seorang bekas pekerja yang melakukan perbuatan itu, namun pihak polis masih menyiasat. - Sky News