BERLIN: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW baru sahaja memperkenalkan model motosikal bergerak sendiri yang boleh memecut dan melengkapkan satu pusingan di litar dan parkir tanpa penunggang. Satu klip video yang dikongsi oleh BMW Motorrad, unit pengeluaran motosikal syarikat berkenaan, menunjukkan aplikasi teknologi itu pada model R1200GS. Model terkini ini mengambil masa selama dua tahun untuk dibangunkan. Jentera itu menggunakan perisian pintar yang membolehkan enjin dihidupkan, kawalan motosikal, kuasa memecut dan mengambil selekoh serta membrek tanpa campur tangan manusia. BMW berharap teknologi kecerdasan pintar (AI) boleh membantu meningkatkan keselamatan penunggang menerusi bantuan kawalan tunggangan dan membrek dalam situasi berbahaya atas jalan. Syarikat itu mendakwa kenderaan itu dibina bukan untuk pengguna tetapi sebagai medium memahami bagaimana ciri keselamatan baharu boleh diserapkan ke dalam rangkaian produk motosikal BMW. Bagaimanapun, kumpulan pengkaji yang menghabiskan masa beratus-ratus jam melakukan penyelidikan dan pembangunan teknologi tersebut berharap AI itu boleh dipasang dalam model-model motosikal BWM pada masa hadapan. Firma automotif itu tidak mendedahkan jenis teknologi yang digunakan untuk tunggangan sendiri tetapi dipercayai membabitkan kamera sensor, lidar dan teknologi AI. – Agensi