SEPASUKAN kakitangan perubatan di timur China telah berjaya menyelamatkan seorang budak lelaki daripada meninggal dunia dengan melakukan bantuan pernafasan (CPR) terhadapnya selama lima jam berturut-turut. Xiao Yu, 8, dimasukkan ke sebuah hospital di Changzhou, wilayah Jiangsu, setelah dia mengalami kegagalan jantung akut. Keadaannya sering merosot dan para doktor membuat keputusan untuk memindahkannya ke Shanghai, di mana peralatan hospital di sana lebih lengkap dan canggih. Bagaimanapun, ketika menunggu untuk dipindahkan minggu lalu, tekanan darahnya menurun secara tiba-tiba dan jantungnya berhenti berdegup, menyebabkan usaha menyelamat dramatik dilakukan oleh pasukan yang terdiri daripada 30 doktor dan jururawat di hospital tersebut. Yu mengalami serangan jantung tiba-tiba akibat 'miokarditis fulminant', satu masalah keradangan hati pada Khamis lepas, menurut kenyataan media yang disiarkan oleh Hospital Munisipal Kanak-Kanak Changzhou. Ventrikel kiri jantungnya hampir hilang keupayaan untuk mengepam darah dan selepas satu siri usaha menyelamat kecemasan intensif, Yu berada dalam keadaan stabil. Bagaimanapun, pada keesokan harinya, kadar denyutan jantungnya tidak teratur menyebabkan keadaannya semakin merosot sekali lagi. Kakitangan di hospital kemudian menghubungi doktor-doktor di Shanghai untuk mengatur rawatan 'oksigenasi membran extracorporeal' (ECMO) untuk menyelamatkan Yu. Sistem sokongan itu akan memasukkan oksigen ke dalam darah pesakit dan membantu mengambil alih fungsi jantung. Sementara menunggu ambulans dari Shanghai tiba, keadaan Yu merosot dengan cepat kira-kira pukul 3 petang. Pernafasannya terhenti dan jantungnya berhenti berdegup selain tekanan darahnya menurun ke tahap di mana doktor tidak dapat lagi mendapat bacaannya. Hampir 30 doktor dan jururawat segera dipanggil ke bilik hospital, di mana mereka mula mengepam jantung kanak-kanak tersebut. Gambar dan rakaman video usaha menyelamat dalam situasi tegang menunjukkan anggota kakitangan berbaris di sebelah katil Yu dan bergilir-gilir menekan jantungnya. Kerjasama doktor dan jururawat melakukan lebih dari 30,000 tekanan di dada Yu adalah untuk memastikan darah terus mengalir ke otaknya, sebelum dia diletakkan di bawah rawatan ECMO. Dr Li Yamin, yang mengambil bahagian dalam usaha menyelamat berkata dia percaya pasukan itu telah melakukan yang terbaik. "Kami melakukan segala yang boleh untuk menyelamatkan budak itu kerana ia akan menjadi satu penyesalan jika kami berputus asa. "Kami berharap dia cepat pulih," kata Dr Li kepada laman berita video Pear Video. Yu kini menerima rawatan di Hospital Kanak-kanak Fudan University di Shanghai, seorang jurucakap di hospital Changzhou mengesahkan. Berita tentang usaha pasukan ini telah tersebar dalam talian, yang mana ramai pengguna internet China memuji kakitangan perubatan sebagai 'pejuang'. "Saya sangat tersentuh," kata seorang pengguna. "Terima kasih, doktor dan jururawat yang baik. Kebaikan akan dibalas kebaikan," tulis seorang lagi pengguna. "Kita memerlukan lebih banyak profesional perubatan seperti ini!," kata pengguna yang lain. -MailOnline