SEORANG bayi 'ajaib' yang mengalami kecederaan parah selepas terjatuh dari ketinggian 40 kaki kembali pulih. Anwar Nyanzi yang berumur 11 bulan duduk di atas kerusi dan tanpa disedari ibu saudaranya, menjenguk ke luar tingkap sebelum terjatuh ke kawasan pejalan kaki di tingkat bawah blok pangsapuri itu. Dengan kecederaan parah di kepala dan juga tulang belakang, Anwar dikatakan hanya mempunyai peluang satu peratus untuk hidup. Namun dia kembali bernafas semula dan mampu berdiri dalam masa beberapa minggu selepas insiden ngeri itu. Ibunya, Hawa Rutansingwa berkata:"Ia satu keajaiban. Dia berjaya melawan segala kesakitannya." Menurut Hawa, dia pengsan sebaik tiba di lokasi kejadian apabila melihat keadaan anak lelakinya itu. "Kepalanya seperti belon. Matanya hampir terkeluar. Lokasi Anwar terjatuh. "Namun dia membuktikan dirinya seorang pejuang," kata ibu berusia 32 tahun itu yang menceritakan keadaan anaknya. Anwar terjatuh dari tingkat tiga kediaman ibu saudaranya, Fauzia di Croydon, Selatan London ketika Hawa sedang bekerja. Fauzia yang panik segera menghubungi pasukan kecemasan dan memaklumkan Hawa mengenai kejadian menimpa anaknya itu. Semasa empat hari di unit rawatan rapi di Hospital St George di Tooting, London, Anwar menjalani pembedahan otak dan rawatan patah tulang rusuk dan lengan. Hawa yang bekerja dalam sektor kesihatan berkata:"Saya pergi bersama dengan ibu dan abang saya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anak lelaki saya... ia saat yang amat menggerikan." Ibu kepada tiga anak itu berkata saat Anwar bernafas semula merupakan suatu keajaiban dan amat mengejutkan semua orang. Anwar kembali tersenyum. Doktor memberitahu Anwar berkemungkinan besar lumpuh tetapi dia dapat melihat, mendengar dan bergerak normal selepas menjalani rawatan fisioterapi secara intensif. Dia dibenarkan pulang dua bulan selepas insiden menggerikan Julai tahun lalu. Dan kini Anwar, 2, menunjukkan peningkatan yang menakjubkan dan menjalani kehidupan biasa bersama keluarganya di Purley, Selatan London. - The Mirror