suria

Video tsunami membadai Palu tular

RAKAMAN ombak besar tsunami membadai kawasan persisiran pantai tular di media sosial selepas gempa bumi kuat menggegar Sulawesi petang Jumaat.

Rakaman video tersebut yang dipercayai diambil menggunakan telefon bimbit menunjukkan beberapa restoran kecil dekat Palu Grand Mall musnah dan dihanyutkan ombak besar itu.

Malah, Masjid Baiturrahman yang dipercayai terletak bersebelahan pusat membeli itu turut rosak teruk akibak dipukul ombak besar itu.

The Jakarta Post tidak dapat mengenal pasti ketulenan video itu tetapi carian Palu Grand Mall dan Masjid Baiturrahman menerusi Google Maps menunjukkan imej tersebut sama dengan landskap dan mercu tanda dalam video yang tular di media sosial.

Iksam, seorang pegawai di Muzium Sulawesi Tengah di Palu mengesahkan kejadian itu kepada akhbar tersebut.

"Ya, terdapat ombak besar yang membadai kawasan pesisiran pantai," katanya sebelum talian telefon terputus.

Satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 skala Richter menggegar Sulawesi Tengah selepas gempa bumi bermagnitud 6.0 menggorbankan seorang mangsa dan mencederakan sekurang-kurangnya 10 yang lain di Donggala, Sulawesi Tengah petang Jumaat.

Agensi Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) berkata gempa bumi itu menyebabkan berlaku tsunami pada ketinggian lebih dari 50 centimeter hingga maksimum tiga meter.

tsunami, Palu

Artikel Lain