JAMBATAN Ponulele yang menghubungkan Donggala Barat dan Donggala Timur di Sulawesi Tengah dilaporkan runtuh selepas ia dihempas gelombang tsunami pada Jumaat. Jambatan ikonik itu antara lokasi percutian popular di bandar Palu. Pada Jumaat, gempa bumi berkekuatan 7.7 pada skala Richter menggegar wilayah tengah Indonesia pada pukul 5 petang (waktu tempatan). Agensi meteorologi, klimatologi dan geofisika Indonesia (BMKG) turut mengeluarkan amaran tsunami untuk kawasan pantai barat Sulawesi dan pantai timur pulau Borneo, namun menarik balik amaran tersebut sejam selepas ia diumumkan. Setakat Jumaat, hanya satu kematian dicatatkan di Donggala, manakala 10 lagi mengalami kecederaan. Pihak berkuasa berkata, ombak tsunami yang menghentam Palu berketinggian sehingga tiga meter dan memusnahkan beberapa bangunan dan menghanyutkan rumah penduduk. Pada 2004, gempa 9.3 magnitud di dasar laut menyebabkan berlakunya tsunami di luar pantai Sumatera di barat Indonesia mengorbankan 220,000 orang penduduk di sekitar Lautan Hindi, termasuk 168,000 rakyat Indonesia. Indonesia adalah sebuah negara yang kerap dilanda bencana alam. Negara kepulauan yang terletak di atas ‘Lingkaran Api’ Pasifik itu adalah kawasan yang kerap berlaku letusan gunung berapi dan gempa bumi.