SEORANG budak lelaki berusia tiga tahun ditemui terikat dalam keadaan berbogel dan kelaparan di sebuah balkoni apartment di daerah Hsinchu, Taiwan. Ia adalah satu kes penderaan kanak-kanak serius yang mengejutkan berlaku di pulau itu. Menurut media tempatan, budak lelaki itu ditemui oleh ibunya pada petang Sabtu, dalam keadaan kurus dan kecederaan di lengan akibat diikat dengan kabel selain seluruh tubuhnya lebam-lebam. Mata kirinya juga luka. Ketika ibunya memotong tali kabel untuk melepaskannya, mangsa yang sangat lapar itu telah mengambil najisnya sendiri di lantai dan memakannya, lapor laman berita Taiwan ETtoday.net. Dia dibawa ke hospital untuk rawatan segera dan kini berada di bawah jagaan ibunya. Selepas berpisah, budak lelaki tersebut dan adiknya yang berumur empat tahun tinggal bersama bapa mereka, menurut akhbar China Times. Seorang lagi anak perempuan mereka yang berusia sembilan tahun tinggal bersama ibunya, yang hanya dibenarkan berjumpa dua anak lelakinya sekali-sekala. Pada hari itu, dia memutuskan untuk melawat kedua-dua anak lelakinya itu kerana bimbang tentang kehidupan dan keadaan tempat tinggal mereka. Menurut Liberty Times, bapa kanak-kanak itu mendakwa dia mahu mendisiplinkan anaknya yang kencing di atas katilnya baru-baru ini. Dia mengaku menggunakan tangan dan seliparnya untuk memukul bahagian bawah dan paha budak lelaki itu. Polis memberitahu China Times bahawa kecederaan pada badan budak lelaki mungkin disebabkan oleh objek yang tumpul. Luka di matanya mungkin disebabkan oleh kesan kepalanya dihentak ke dinding, kata mereka, sambil menambah siasatan lanjut mengenai kes penderaan kanak-kanak itu sedang dijalankan. -The Straits Times/Asia News Network/TheStar