SEORANG gadis yang mencuba cabaran mi segera pedas sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital selama empat hari kerana mengalami pendarahan di bahagian punggungnya, berjanji untuk melakukan cabaran itu sekali lagi. Shannen Goulding dikejarkan ke hospital kerana mengalami cirit-birit berdarah sehari selepas menikmati mi ramen Samyang pedas perisa ayam. Doktor terpaksa melakukan drip IV sebelum prosedur kolonoskopi mendedahkan dia mengalami peringkat awal penyakit radang usus. Shannen dan rakannya Keelan Unsworth yang kedua-duanya berusia 20 tahun merakamkan cabaran itu bersama-sama. Biarpun diberikan amaran oleh para doktor, vlogger muda itu masih berdegil dan kali ini ingin melakukannya dengan mi yang lebih pedas. Shannen dari Wigan, Greater Manchester berkata: "Saya rasa cabaran ini 'membawa maut', tapi ia sudah tentu satu cabaran yang berjaya. Shennen. "Saya ingat saya mampu menghabiskannya, tapi tak sangka saya akhirnya dimasukkan ke hospital. "Selepas kami makan, saya mula rasa sangat sakit. Keelan pun sama, tapi tak seteruk saya. "Tidak lama selepas itu, ketika saya ke bilik air, hanya darah yang keluar. "Saya beritahu doktor dan jururawat mengenainya dan mereka hanya ketawakan saya. "Saya berkawan dengan pesakit lain di hospital dan mereka tanya kenapa saya dimasukkan ke sana. Selepas memberitahu saya makan mi pedas, mereka semua gelakkan saya," katanya. Pada mulanya gadis itu menyangka vlogger lain sengaja berlebih-lebih ketika melakukan cabaran itu, namun ternyata sangkaannya itu salah. - Mirror UK