NYAWA seorang ibu anak empat melayang gara-gara tindakan seorang pemandu lori leka bermain telefon bimbitnya selama 18 saat. Yvonne Blackman, 66, sedang memandu kereta di Dumfires, Scotland ketika David Shields merempuh keretanya dari belakang pada Februari 2017. Pemandu lori berusia 34 tahun itu dipenjara lima tahun pada Jumaat selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian wanita malang tersebut. Rakaman kamera dashcam menunjukkan lori tersebut brek secara mengejut selepas pemandunya menyedari dia merempuh kereta wanita warga emas itu. Dalam beberapa saat sebelum kemalangan itu, Shields dilihat sedang bermain dengan telefon bimbitnya. Suami Blackman, Ralph yang juga bekerja sebagai pemandu lori turut mendesak orang ramai supaya tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Yvonne Blackman. "Saya harap hukuman ini akan memberi pengajaran kepada pemandu lain di luar sana. Mereka harus menyedari kesakitan yang perlu ditanggung keluarga mangsa. "Saya pemandu profesional selama 40 tahun dan tidak pernah menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Jika telefon berbunyi saya hanya biarkan sahaja. "Saya tahu ia membahayakan dan pemandu lain juga perlu melakukan perkara sama," katanya. Blackman meninggalkan seorang suami, empat anak dan 18 cucu. "Dia seorang yang kelakar dan penyayang. Dia sepatutnya hidup lebih lama," kata Ralph. Semasa kejadian, Blackman dalam perjalanan bertemu rakannya yang bekerja sebagai sukarelawan. Dia mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di hospital pada 22 Februari tahun lalu. - Metro.co.uk