suria

Budak 6 tahun terpaksa jaga bapa lumpuh selepas ibu menghilang

SEORANG budak perempuan berusia 6 tahun dari wilayah Ningxia, China berjaya mencairkan hati netizen apabila sanggup menjaga dan menguruskan bapanya yang kurang upaya sejak ditinggalkan ibunya.

Kehidupan Tian Haicheng, 38, yang dahulunya mempunyai pekerjaan dan gaji yang baik amat sukar sejak empat tahun lalu selepas dia terbabit dalam satu kemalangan kereta.

Akibatnya, dia tidak boleh berjalan dan tidak mampu bekerja dan menyara keluarganya.

Isterinya membawa lari anak lelaki mereka dan meninggalkan Haicheng dengan anak perempuan mereka, Jiajia yang berumur 6 tahun.

Tetapi bukan Haicheng yang harus menjaga anak perempuannya, sebaliknya kanak-kanak itu yang mengambil alih sebahagian besar tanggungjawab ibunya sebagai isteri, termasuklah memasak, mencuci muka dan lukanya.

Sukar untuk percaya bahawa seorang budak berusia 6 tahun dapat menjaga dirinya sendiri, apatah lagi seorang bapa yang cacat, tetapi kanak-kanak ini telah membuktikan bahawa ia tidak mustahil.

Dalam sebuah video yang tersebar di media sosial di China, Jiajia yang bangun seawal 6 pagi setiap hari dapat dilihat mencuci luka bapanya, membantunya duduk di kerusi roda, menyuapkan makanan, membaca dan menyelimutkan bapanya yang sedang tidur.

Dengan bantuan anak perempuannya, Haicheng dapat mengatasi kemurungannya dan kini hanya berharap nasibnya akan bertambah baik pada masa hadapan.

Walaupun kemalangan kereta itu menyebabkan dia lumpuh, lelaki itu masih berharap untuk pulih bagi meringankan beban yang ditanggung anak perempuannya.

Bangga dengan anaknya, dia berkongsi foto dan video penjaga kecilnya di media sosial dan ia tidak mengambil masa yang lama untuk kehidupan mereka mendapat perhatian.

Mereka baru-baru ini muncul dalam Pear Video, yang telah dikongsi ribuan kali di WeChat.

Walaupun kebanyakan orang kagum dengan kematangan budak itu dan memuji sikapnya, ada juga yang menyatakan kesedihan mereka melihat si kecil itu yang perlu membesar menjadi 'cepat dewasa' dan tidak menghabiskan masa bermain seperti kebanyakan rakan sebayanya. -People's Daily

bapa OKU

Artikel Lain