PALU: Urusan pengebumian beramai-ramai sedang diatur untuk mangsa bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda bandar ini. Setakat ini, keluarga yang berdepan masalah kehilangan saudara mara mereka tidak berhenti mencari dengan membuka beg mayat dan bergegas ke pusat penempatan yang disediakan pihak berkuasa tempatan. Agensi mitigasi bencana alam nasional memaklumkan, pihaknya mahu mempercepatkan urusan pengebumian bagi mengelak penyebaran wabak penyakit. "Sekurang-kurangnya 300 mayat akan dikebumikan dalam liang lahad dan ia mungkin akan diperluaskan mengikut keperluan semasa," kata ketuanya, Willem Rampangilei. Walaupun tiada tarikh khusus diputuskan untuk pengebumian beramai-ramai itu, katanya, ia perlu segera diuruskan atas alasan kesihatan dan agama. Hingga kini angka korban akibat bencana itu meningkat lebih 830 orang, manakala mangsa yang selamat berdepan kesukaran mencari makanan dan air. Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi tiba di lokasi bencana tengah hari Ahad untuk menyaksikan kemusnahan yang berlaku. Pada Ahad, bantuan mula mengalir masuk pada Ahad di mana askar Indonesia telah dikerahkan dan pekerja-pekerja penyelamat bertungkus lumus menggali serpihan untuk mencari mangsa yang masih hidup termasuk 150 orang yang tertimbus apabila sebuah hotel mewah di Palu runtuh. “Kami berjaya mengeluarkan seorang wanita dalam keadaan masih hidup dari runtuhan Hotel Roa-Roa malam tadi (Ahad). “Jentera berat diperlukan untuk membersihkan runtuhan kerana mustahil untuk kakitangan saya menggunakan tulang empat kerat bagi melakukan kerja ini," kata ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Muhammad Syaugi. “Suasana kini amat tegang,” kata seorang ibu berumur 35 tahun, Risa Kusuma sambil menenangkan anak lelakinya yang mengalami demam di sebuah pusat pemindahan di bandar pesisir pantai, Palu. “Setiap minit, ada sahaja ambulans membawa masuk mayat. Air bersih pula sukar dicari. Pasar-pasar mini diceroboh merata-rata dan orang ramai melarikan barangan keperluan,” tambahnya. Stesen televisyen Indonesia, Metro TV menyiarkan rakaman dari komuniti pinggir pantai di bandar Donggala, berhampiran pusat gempa, di mana rumah-rumah di tepi pantai musnah tetapi seorang penduduk setempat berkata, kebanyakan mereka sempat melarikan diri ke tempat tinggi selepas gempa bumi bermagnitud 7.5 itu berlaku. “Kami semua lari ke atas bukit,” kata seorang lelaki yang dikenali sebagai Iswan kepada Metro TV. Badan Nasional Pengurusan Bencana menyatakan bahawa kira-kira 17,000 orang telah dipindahkan setakat semalam, manakala angka itu dijangka meningkat dengan banyak. – AP