HOUSTON: Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun di daerah Broward, Florida Amerika Syarikat (AS) dikenakan tahanan rumah, selepas menggunakan pistol milik bapanya untuk mengancam rakan sekelasnya, menurut pihak berkuasa tempatan. Polis berkata murid tahun tiga itu, membuat "komen mengancam" kepada rakan sekelasnya dengan mengatakan "Lihat ini adalah senjata betul." Senjata api itu kemudian dirampas pegawai sumber sekolah dan menahan murid tersebut, lapor agensi berita Xinhua. Pihak berkuasa tidak mendedahkan identiti murid dan ibu bapanya, difahamkan murid itu akan menghadapi pertuduhan di bawah kesalahan senjata api dan melakukan ancaman. Hakim Mahkamah Daerah Broward, Elijah Williams pada Rabu memerintahkan budak itu ditahan di rumah selama tiga minggu dan langsung tidak dibenarkan akses Internet serta media sosial. Kes senjata api membabitkan juvana banyak berlaku di AS. Pada Julai, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditembak mati oleh kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.-- Bernama