SEBUAH syarikat yang menyediakan perkhidmatan tukang cuci menarik perhatian pengguna media sosial apabila mengiklankan tawaran kerja yang mungkin dianggap tidak masuk akal oleh orang ramai. Manakan tidak, menerusi iklan yang dimuat naik ke laman Facebook, mereka memaklumkan sedang mencari tukang cuci yang sanggup bekerja tanpa seurat benang dengan bayaran £65 (RM310) sejam. Syarikat yang dinamakan The Naked Cleaning Company itu berpangkalan di Plymouth dan kini giat mencari pekerja dari pelbagai saiz untuk menjadi kakitangan mereka. Menurut syarikat itu lagi, pelanggan yang mahu menempah tukang cuci bogel perlu membayar wang pendahuluan sebanyak £30 (RM143) sebelum melunaskan baki setelah berakhirnya slot cucian tersebut. Malah, pelanggan juga perlu menempah sekurang-kurangnya satu slot dengan tempoh satu jam jika berminat untuk menggunakan perkhidmatan itu. "Syarikat kami komited untuk menyediakan staff profesional. Pasukan kami adalah aset utama syarikat. "Kami menggalakkan pekerja kami mengambil serius tanggungjawab dan tugas mereka sebagai tukang cuci. "Bagi mereka yang sudah membuat tempahan dan mahu membatalkan servis, mereka perlu memberi notis awal untuk memudahkan urusan kami," ujar wakil syarikat itu menerusi satu kenyataan. Iklan syarikat tersebut ternyata menarik perhatian ramai pengguna media sosial. "Pelanggan yang menempah tukang cuci bogel boleh lihat sahaja tapi tak boleh sentuh," tulis seorang individu.-Gloucestershirelive.co.uk.