PENGERUSI kontraktor ruang persendirian di Chengdu, China, baru-baru ini mendedahkan rancangan untuk melancarkan satu satelit 'bulan buatan' yang didakwa cerah seperti cahaya bulan dan mampu menggantikan lampu jalan tradisional. Projek bercita-cita tinggi itu diumumkan pada acara inovasi dan keusahawanan nasional yang diadakan di Chengdu, sebuah bandar dengan 14 juta penduduk di Sichuan, wilayah barat China. Pengerusi kontraktor ruang persendirian Aerospace Science and Technology Microelectronics System Research Institute Co (Casc) Chengdu itu mendedahkan rancangan untuk melancarkan satelit pencahayaan yang dipanggil 'bulan tiruan' itu dan mampu memancarkan cahaya dalam kawasan dengan diameter 10 hingga 80 kilometer. Satelit inovatif itu yang 'direka sebagai pelengkap bulan pada waktu malam' telah menjalani proses pembangunan sejak bertahun-tahun tetapi dengan kemajuan teknologi yang pesat, ia dijangka siap pada tahun 2020. Walaupun butiran tepat satelit itu belum lagi didedahkan, beberapa saluran media melaporkan bahawa ia akan mempunyai lapisan bersalut yang boleh memberi refleksi cahaya dari matahari dengan sayap seperti panel solar yang boleh disesuaikan supaya cahaya dapat difokuskan ke lokasi yang tepat. "Kecerahan dan masa perkhidmatan satelit itu boleh diselaraskan dan ketepatan pencahayaan dapat dikendalikan jarak puluhan meter," kata Wu. Tidak diketahui sama ada projek itu mendapat sokongan pemerintah China atau pihak berkuasa Chengdu, tetapi para pegawai dari bandar itu menyatakan bahawa mereka tertarik dengannya dan ia boleh mengurangkan kos lampu jalan dan meningkatkan kemasukan pelancongan tempatan. Walaupun idea bulan tiruan itu nampak menarik, ia juga menimbulkan banyak persoalan orang ramai. Pengguna di platform media sosial China, Weibo mempersoalkan sejauh mana cahaya buatan itu akan memberi kesan kepada corak tidur dan haiwan. Pengarah Sekolah Aeroangkasa di Harbin Institute of Technology, Kang Weimin memberitahu CIFNews bahawa satelit itu hanya akan menghasilkan cahaya yang tidak akan menjejaskan kitaran kehidupan haiwan. Keamatan cahaya yang dipancarkan oleh bulan tiruan ini juga adalah perkara yang tidak diketahui. Walaupun People's Daily memetik Wu sebagai berkata bahawa cahaya itu cukup cerah untuk menggantikan lampu jalan, Agensi Berita Xinhua memetiknya sebagai berkata bahawa kecerahannya hanyalah lima kali berbanding lampu jalan konvensional.