suria

Suami kongsi foto isteri, bayi bakal lahir dalam keranda

TINDAKAN seorang lelaki yang berkongsi gambar isterinya sambil memegang bayi perempuan yang sudah tidak bernyawa menyentuh hati netizen.

Zach Kincaid, 34, sedang berbual dengan isterinya Krystil, 29, di telefon apabila seorang lelaki mabuk merempuh van mini dipandu wanita tersebut di Hemet, California pada 9 September lalu.

Rempuhan kuat itu menyebabkan Krystil dan bayi perempuan dalam kandungannya maut di tempat kejadian.

Krystil baharu sahaja pulang kerja dan mengambil cuti sebagai persediaan untuk bersalin pada hari kemalangan itu.

Awal minggu ini, Zach berkongsi gambar Krystil di dalam keranda sambil memegang bayi perempuannya yang sepatutnya menunggu masa untuk dilahirkan dalam tempoh seminggu lagi.

Dia berharap agar gambar itu memberi pengajaran kepada orang ramai mengenai bahaya memandu dalam keadaan mabuk.

"Saya memuatnaik gambar tersebut supaya orang ramai boleh melihat sendiri mimpi ngeri yang saya lalui bersama dengan anak saya selepas ini.

"Saya hanya mahu menjadikan ia sebagai iktibar kepada orang ramai. Ia bukan tentang balas dendam tetapi melakukan apa yang betul.

"Ini bagi memastikan agar isteri saya meninggal dunia bukan untuk sesuatu yang sia-sia. Inilah cara saya untuk memberi penghormatan kepada mereka. Inilah cara saya menyelamatkan orang lain," katanya.

Zach bersama Krystil.

Bercerita mengenai detik cemas itu, Zach berkata dia terdengar jeritan isterinya sebelum jeritan itu tidak kedengaran dalam tempoh dua saat.

"Ia sentiasa terngiang-ngiang di telinga saya. Apabila anda tidak terdengar jeritan itu ia ibarat kesunyian yang menakutkan," katanya.

Zach berkata dia dapat terdengar orang ramai bergegas ke lokasi kemalangan dan cuba membuka pintu kereta untuk menyelamatkan isterinya.

Mereka beritahu Krystil masih bernafas ketika ditemui tetapi kakinya tersepit.

"Saya menjerit dia mengandung... adakah bayi kami ok? Saya berada jauh daripadanya ketika itu," kata Zach.

Anak lelaki Krystil bersedih dengan pemergiannya.

Zach berkata dia mengambil tiket penerbangan pulang pada malam itu tetapi beberapa jam kemudian, dia menerima berita sedih daripada doktor yang memaklumkan bayinya gagal diselamatkan.

"Isteri saya turut menangis bersama dengan saya di dalam telefon. Dia beritahu anak kami cukup sempurna dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Ketika Zach tiba di hospital 12 jam kemudian, dia diberitahu bahawa Krystil gagal ujian neurologi pertama dan keduanya.

"Saya menjerit agar dia dapat beri tindak balas. Saya lihat dia tidak bernafas selama 16 minit. Pada pukul 12.09 pagi doktor pandang muka saya dan minta maaf kerana isteri saya sudah tiada," katanya.

Krystil meninggalkan anak perempuan berusia 11 tahun dan dua anak lelaki masing-masing berusia lapan dan empat tahun. - Metro.co.uk

keranda

Artikel Lain