suria

Budak 6 tahun selamatkan nyawa ibu, beritahu cikgu “bapa saya nakal”

Jodie menunjukkan lebam di kakinya.

SEORANG budak perempuan berusia enam tahun menyelamatkan ibunya daripada terus menjadi mangsa pukul bapanya apabila mendedahkan perbuatan tersebut kepada gurunya.

"Ayah saya sakiti ibu," katanya.

Kanak-kanak di sekolah tersebut diajar untuk memberitahu guru mereka jika mereka dibuli.

Jadi selepas melihat ibunya menderita, kanak-kanak itu memberitahu guru tersebut bahawa "bapanya seorang yang nakal".

"Ayah sakiti ibu. Ibu kata ibu sayangkan ayah tapi ayah sentiasa sakiti ibu," katanya.

Guru tersebut memberitahu polis yang bertindak menahan Scott Keegans, 34, selepas menyeksa isterinya Jodie, 36.

Jodie bersama anak perempuannya yang memaklumkan guru mengenai perbuatan kejam bapanya.

Jodie berkata kehidupannya bagaikan babak dalam filem ngeri sepanjang tempoh tiga tahun di mana dia sering dipukul suaminya itu.

Scott dipenjara 18 tahun oleh sebuah mahkamah Sheffield selepas hakim mendapati dia bersalah terhadap enam pertuduhan melakukan penderaan, serangan seksual dan rogol.

Hakim menyifatkan kes tersebut sebagai paling kejam pernah dikendalikannya dalam tempoh 30 tahun.

Mengimbau kembali insiden ngeri itu, Jodie berkata:"Saya fikir ini adalah hari saya akan mati. Saya dipukul selama dua jam tanpa belas kasihan menggunakan kayu penguli.

"Saya rasa amat sakit dan jantung saya berdegup kencang. Apabila saya pergi ke hospital, mereka fikir saya terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Saya kata bukan... kecederaan ini dilakukan suami saya," katanya.

Jodie bersama Scott.

Scott menyerang isterinya itu pada 22 Disember tahun lalu menggunakan kayu penguli.

"Dia menghayunkan kayu penguli itu dan memukul saya menggunakannya. Dia tumbuk saya, pukul dan juga pijak saya.

"Dia tarik rambut saya dan beritahu bencikan saya. Sejujurnya saya fikir saya akan mati. Saya amat takut dan terlalu menderita.

"Wajahnya berubah. Dia kelihatan seperti Joker. Dia pukul tapak kaki saya sehingga saya tidak dapat berjalan.

"Dia hanya berhenti apabila letih dan beritahu saya dia mahu tidur. Pada pukul 9 pagi dia kejutkan saya dan minta saya pergi ke dapur dan kemudian bertindak memukul saya semula," kata Jodie. - Mirror.co.uk

pukul, ibu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain