suria

Gadis 23 tahun tanggal pusat, jadikan hadiah buat kekasih

Paulina begitu menyesali di atas keputusan yang dilakukannya tiga tahun lalu. Foto Caters News Agency

SEORANG gadis berusia 23 tahun bertindak menanggalkan pusatnya untuk diberikan sebagai hadiah kepada bekas teman lelaki.

Paulina Casillas Landeros dari Jalisco, Mexico menjalani beberapa pembedahan kerana begitu fanatik pada perubahan badannya.

Dia kemudian memutuskan untuk mengeluarkan pusatnya sebelum menjadikannya sebagai hadiah kepada Daniel Ramirez pada 2015 yang ketika itu merupakan teman lelakinya.

Bagaimanapun selepas bertindak demikian tiga tahun lalu, dia kemudian menyesal di atas keputusan itu yang disifatkan sebagai 'impulsif' dan 'semberono'.

Pelajar jurusan pelancongan itu berkata: "Saya sentiasa mempunyai masalah dengan keluarga, saya tidak begitu rapat dengan mereka ketika itu.

"Saya sangat marah, saya mahu memutuskan hubungan daripada sesiapa dan segala-galanya.

"Saya melakukan sesuatu dengan cara yang simbolik, saya mahu melakukan sesuatu yang kontroversi.

"Saya menjalani 'pembedahan' yang dilakukan oleh seorang pakar tetapi dia memberikan nasihat yang buruk kepada saya mengenai bagaimana untuk mengatasi trauma sekiranya saya mendapat jangkitan.

"Saya terseksa, saya menghabiskan masa berhari-hari di katil kerana dikuarantin. Saya tidak boleh merenggangkan badan, bangun, berdiri atau ketawa.

"Ia bagaimanapun sembuh secara beransur-ansur tetapi tidak 100 peratus, tidak pernah pulih sepenuhnya," katanya.

Paulina berkata, dia tahu mahu memberikan bahagian badan kepada Daniel sebagai tanda cintanya kepada pemuda itu.

"Saya amat menyintai bekas teman lelaki ketika itu, dia banyak menyokong saya semasa susah, dan dia seorang yang banyak mempengaruhi hidup saya.

"Ia merupakan sesuatu yang bertindak tanpa berfikir panjang ketika itu, kami masih mudah dan tidak berfikir dahulu, tetapi itu lah yang saya rasa.

"Saya meletakkannya (pusat) di dalam beg kecil dengan nota mengatakan 'saya cinta awak', ia sesuatu yang begitu emosi.

"Dia menyimpannya dan dia akan menyimpannya selama-lamanya kerana dia tahu maksud di sebaliknya.

"Kami berkawan baik sekarang tetapi kami sentiasa menyayangi antara satu sama lain," katanya.

Paulina berkata, hubungannya bersama keluarga semakin baik dan menyesali di atas perbuatannya sebelum ini. - Mirror Online

Artikel Lain