SEPASANG suami isteri yang terbang selama 16 jam dari United Kingdom (UK) ke Bali untuk berbulan madu buat pertama kali tidak dibenarkan masuk kerana membawa pasport yang digigit anjing perliharaan mereka. Daniel dan Tia Fathing membelanjakan £4,000 (RM21,418) untuk rancangan percutian mereka ke pulau di Indonesia itu. Mereka tidak dibenarkan keluar dari lapangan terbang selepas pihak berkuasa memutuskan dokumen perjalanan yang rosak itu tidak boleh diterima. Pihak berkuasa kemudian memutuskan pasangan itu pulang ke negara asal mereka menerusi penerbangan berikutnya. Pasangan tersebut tiba di tanah air selepas penerbangan kurang dari 48 jam dari UK ke Bali, sebelum terpaksa pulang semula. Mereka kini dapat menghabiskan masa bersama anjing mereka yang berusia empat tahun, Milo, yang didapati menggigit di bahagian hujung pasport milik Daniel. Daniel dan Tia bersama anjing mereka, Milo. Foto Stan Kujawa Bagaimanapun, Daniel menggunakan pasport berkenaan untuk mengembara ke sekitar Eropah tanpa sebarang masalah. Katanya, pegawai imigresen UK (UK Border) memberi jaminan kepadanya bahawa tiada masalah untuk ke Indonesia kerana butiran di dalam pasport itu boleh diperolehi. Pasangan itu bagaimanapun mengalami trauma akibat insiden itu apabila Daniel, 26, ditahan selama tujuh jam di Singapura dalam perjalanan pulang ke UK. Tia dari Hadleigh, Suffolk, berkata: “Kami berkahwin tahun lepas dan merancang untuk menikmati bulan madu sempena sambutan ulang tahun perkahwinan yang pertama. "Kami telah menempah seekor gajah, sebuah vila dan kolam renang. Ia sepatutnya menjadi sesuatu yang istimewa." Pasangan itu yang mempunyai seorang anak berusia dua tahun, melepasi Singapura sewaktu transit tanpa sebarang masalah tetapi tidak dibenarkan masuk selepas tiba di Bali. - Mirror Online