suria

Bertahun dirogol bapa tiri, mangsa bakal dipenjara kerana cuba gugur kandungan

SEORANG mangsa rogol dijangka berdepan hukuman penjara selama 20 tahun kerana cuba membunuh bayi yang dilahirkan di sebuah tandas di El Salvador.

Imelda Cortez ditahan sejak April 2017 selepas melahirkan seorang bayi perempuan. Bayi itu dilahirkan setelah dia berulang kali dirogol oleh bapa tirinya yang 'ganas'.

Cortez yang ketika itu berusia 18 tahun dihantar ke hospital selepas ibunya mendapati dia sedang mengalami pendarahan yang banyak dan kesakitan teruk.

Doktor di bilik kecemasan mengesyaki Cortez cuba melakukan pengguguran dan menghubungi polis.

Bayi itu ditemui dalam keadaan masih hidup dan sihat di dalam tandas, lapor Guardian.

Cortez telah menjadi mangsa penyalahgunaan bapa tirinya yang berusia 70 tahun sejak dia berusia 12 tahun dan memberitahu dia tidak tahu bahawa dirinya hamil.

Salah seorang peguam pertahanannya, Bertha Maria Deleon memberitahu Guardian: "Ini adalah ketidakadilan paling melampau dan menakutkan terhadap seorang wanita yang pernah saya lihat.

"Negara telah berulang kali melanggar hak Imelda sebagai mangsa, dia sangat terkesan tetapi dinafikan perhatian psikologi."

Protes terhadap undang-undang pengguguran dan penjara wanita di El Savador. -foto Alamy

Pengguguran adalah haram dalam semua keadaan di El Salvador.

Menurut Guardian, ketika Cortez berada di hospital, bapa tirinya telah melawatnya, mengancam untuk dirinya, adik-beradiknya dan ibunya jika dia melaporkan tentang penyalahgunaan itu.

Seorang pesakit lain terdengar percakapan itu dan memberitahu seorang jururawat, yang kemudian memanggil polis.

Pendakwa pada mulanya menuduh Cortez mereka cerita tentang penyalahgunaan itu tetapi ujian DNA mengesahkan siapa bapa bayi tersebut. Bapa tirinya masih belum didakwa.

Perbicaraan jenayah terhadap Cortez bermula Isnin ini dengan keputusan oleh tiga hakim dijangka dibuat dalam masa seminggu. -Mirror

rogol, gugur, bapa tiri

Artikel Lain