suria

Tular video budak 2 tahun mengerang kesakitan, tangan 'dimakan' eskalator

TANGAN kanan seorang kanak-kanak telah 'dimakan' sebuah eskalator dalam kejadian Khamis lepas.

Video kejadian itu yang kini tular dikongsi oleh pengguna Facebook Antonio Tony Romero menunjukkan budak perempuan berusia 2 tahun itu menangis sambil duduk di atas eskalator manakala pengawal keselamatan berusaha untuk menenangkannya.

Dalam keterangan videonya, Romero berkata kejadian berlaku sekitar jam 4.30 petang di pusat beli-belah SM Marikina Mall, Filipina.

Coconuts Manila melaporkan, Romero berkata kanak-kanak itu terjatuh selepas tidak sengaja terlepas pegangan tangan ibunya.

"Budak itu secara tak sengaja melepaskan tangan ibunya, kakinya tersadung di eskalator dan terjatuh ke belakang.

"Ketika dia mahu berdiri, dia menggunakan tangannya untuk sokongan dan meletakkannya di eskalator," katanya yang menyaksikan kejadian tersebut.

"Ibu cuba mengejarnya tetapi gagal."

Tangan kanak-kanak itu tersekat di dalam eskalator selama kira-kira 2 minit.

"Kanak-kanak itu meronta-ronta mengerang kesakitan. Kulit di kedua-dua jarinya hancur," katanya.

Romero berkata pengawal keselamatan melihat apa yang berlaku dan segera menghentikan pergerakan eskalator.

Disebabkan jari kanak-kanak itu kecil, dia akhirnya dapat menarik tangannya sendiri.

Menurut GMA News '24 Oras, dia dibawa ke klinik di pusat beli-belah itu sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Memorial Quirino.

Laporan manyatakan tiada tulangnya yang patah dan dia telah dibenarkan keluar dari hospital.

Eskalator telah wujud selama lebih dari 100 tahun dan kemalangan melibatkannya masih berlaku.

Pada Oktober sebuah eskalator di sebuah stesen keretapi bawah tanah Rome tiba-tiba bergerak laju, mencederakan berpuluh-puluh orang.

Pada bulan Mac, bahagian atas eskalator di stesen Kwun Tong Hong Kong terputus selepas selendang disangkut di dalamnya.

eskalator, jari, kemalangan

Artikel Lain