SEORANG budak lelaki berusia sembilan tahun didakwa dipukul sampai mati oleh ahli keluarganya, kerana enggan membuat kerja sekolah. Kanak-kanak itu ditemui mati di rumahnya di timur Perancis selepas adik-beradiknya dilaporkan membuat panggilan kecemasan. Sumber polis memberitahu, mangsa diserang menggunakan objek tumpul seperti sapu, selepas didakwa enggan melakukan kerja sekolah. Kakak mangsa, 20, abangnya, 19, dan isteri abangnya ditahan susulan kematiannya pada 17 September. Ketiga-tiga mereka dikatakan membuat panggilan kecemasan selepas gagal menyelamatkan mangsa. Ibu mangsa dilaporkan tidak berada di rumah di Mulhouse ketika kejadian kerana berkunjung ke Paris. Bagaimanapun, dia turut ditahan berhubung kejadian itu. Menurut pejabat pendakwa raya yang menjalankan siasatan terhadap kes itu, mangsa dipukul dengan kejam. Menurut laporan, pemeriksaan forensik dilakukan selepas bedah siasat mendapati tanda-tanda dipukul pada badan kanak-kanak itu. Keputusan pemeriksaan mendedahkan mangsa meninggal dunia kerana dipukul dengan kejam. Keempat-empat suspek ditahan pada Rabu. Namun tidak dipastikan sama ada kesemua mereka didakwa, dan siasatan masih berjalan. - Mirror Online