suria

Ibu campak bayi, terjun dari rumah terbakar

SEORANG ibu terpaksa mencampak bayinya dari tingkat tiga kediaman mereka yang terbakar.

Namun bayi tersebut berjaya disambut seorang lelaki yang kebetulan berada di bawah apartmen tersebut yang terletak di timur-laut Dallas, Amerika Syarikat (AS).

Byron Campbell diangkat sebagai hero apabila menyelamatkan Shuntara Thomas dan bayinya dari kebakaran tersebut yang berlaku pada pukul 7 pagi waktu tempatan.

Sebuah rakaman video menunjukkan Campbell menunggu di bawah apartmen yang sedang terbakar.

"Saya pergi ke arah tingkap dan saya lihat ada seorang wanita di tingkat tiga memegang bayinya ke luar tingkap.

"Dia merayu agar saya menyambut bayinya. Saya agak gementar untuk menunaikan permintaannya ketika itu," kata Campbell.

Campbell yang juga salah seorang penduduk di apartmen tersebut berkata:" Selepas dia mencampakkan bayinya saya menyambut dan mendakapnya."

Shuntara turut berterima kasih kepada Campbell di atas pertolongannya itu.

"Mencampak bayi saya untuk disambut oleh orang yang saya tak kenal, tetapi saya amat berterima kasih kepadanya kerana tanpa dia nyawa anak saya dalam bahaya," katanya.

Sekurang-kurangnya enam mangsa termasuk bayi berjaya menyelamatkan diri dengan terjun melalui tingkap.

Beberapa mangsa turut terjun ke atas tilam kecemasan yang sudah disediakan di bawah apartmen tersebut.

Bangunan tersebut tidak dapat diselamatkan dan terbakar sepenuhnya.

Balai Bomba dan Penyelamat Dallas sedang mengenal pasti punca kebakaran itu. - Metro.co.uk

bayi, kebakaran

Artikel Lain