suria

Asyik nak berkepit dengan teman lelaki, pramugari disimbah air panas

Pramugari yang disimbah air panas dari bekas mi segera menutup mukanya akibat kesakitan.

BANGKOK: Seorang pramugari disimbah air panas dari bekas mi segera penumpang gara-gara tidak dapat duduk sebelah teman lelakinya.

Kejadian itu berlaku ketika pesawat dari syarikat penerbangan tambang rendah, dalam perjalanan dari Bangkok ke Nanjing, China.

Memetik Daily Mail, penumpang wanita dari China itu menyerang pramugari dengan melemparkan cawan mi segera apabila dia mengetahui tidak dapat duduk di sebelah teman lelakinya.

Dalam suasana kecoh, penumpang dilihat mengeluarkan telefon pintar untuk merakam gambar pramugari yang menjerit kesakitan sambil menutup mukanya.

Meskipun terdapat seorang penumpang sukarela menukar tempat duduknya dengan wanita itu tetapi suasana dalam penerbangan itu semakin panas.

Kekecohan itu berterusan apabila seorang lelaki dipercayai teman lelakinya bangun dari kerusi dan terus memarahi serta mengancam untuk meletupkan pesawat gara-gara pramugari itu dibela rakan sekerjanya.

Bukan itu sahaja, lelaki itu turut membela teman wanitanya dengan memberitahu perbuatan tersebut tidak disengajakan.

Jelasnya, insiden itu berlaku ketika mereka sedang bertengkar dan pada masa sama pramugari itu memberi resit air panas yang dipesan mereka.

Susulan kejadian tersebut, tempoh penerbangan dilanjutkan hingga 90 minit sebelum pendaratan kecemasan dilakukan.

Berikutan insiden itu, tular beberapa keping gambar di lawan web sosial Weibo menunjukkan seorang lelaki bersama wanita keluar dari pesawat.

Pasangan itu telah menerima padah apabila perlu membayar 50,000 baht Thai (kira-kira RM6,352) sebagai pampasan kepada krew penerbangan yang cedera.

Wanita yang melemparkan cawan air panas dan mee itu dikenakan denda tambahan 200 baht Thailand (RM25). - Daily Mail

Bangkok, Nanjing, pramugari

Artikel Berikut

Artikel Lain