PASANGAN yang berasal dari Surabaya, Jusup Maruta Cayadi dan Clarissa Wang sah disatukan sebagai suami isteri dalam majlis yang diadakan di Grand Ballroom, The Mulia Resort Nusa Dua, Bali, pada Sabtu. Sebelum majlis berlangsung, pasangan ini telah tular dan menjadi perhatian gara-gara majlisnya diadakan besar-besaran dengan cenderahati mewah seperti syiling emas dan lima buah kereta Jaguar disediakan untuk tetamu. Pengantin lelaki, Jusup Maruta Cayadi merupakan anak pengusaha kelapa sawit terkenal, Rendra Tjajadi. Isterinya, Clarissa Wang adalah puteri kepada usahawan Thio Trio, Susantono. -foto Instagram/@jusupclarissawed Perkahwinan pasangan ini yang digelar 'Crazy Rich Surabayan' mendapat perhatian seluruh Indonesia kerana majlisnya yang dianggap 'super mewah'. Menurut laporan Liputan6, ia dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi antarabangsa Calum Scott dan band legenda Michael Learns to Rock. Pada majlis itu tetamu undangan diberikan beg anyaman warna coklat dengan hiasan kain warna pink. Di dalam beg tersebut berisi makanan dan coklat berjenama mahal serta cenderamata istimewa dari Bali. Turut diberikan adalah syiling emas yang berukir wajah mempelai, lengkap dengan nama, tarikh serta lokasi perkahwinan. -foto Instagram/@jusupclarissawed Sebelum itu, setiap tetamu disediakan tiket pesawat menuju Pulau Dewata untuk pernikahan mereka, lapor tribunnews. Bukan itu sahaja, tiga tetamu dengan gambar dan pakaian terbaik diberikan hadiah iPhone XS Max, ZS dan XR. Sementara itu bapa Jusup Maruta, Rendra Tjahyadi sempat menjelaskan tentang perkahwinan anak lelakinya yang heboh diperkatakan di media sosial. Dia juga menafikan keluarganya mahu mempamerkan kemewahan dengan mengadakan majlis yang dikatakan menelan kos 1 trilion Rupiah, sebaliknya berkata ia hanya bernilai tidak lebih 10 juta Rupiah. -foto Instagram/@jusupclarissawed "Itu semua tak benar. Kami berasal dari keluarga sederhana. Ada video tentang rancangan pernikahan kami yang disebarkan tanpa izin. "Akibatnya, saya tertekan hingga malu berdepan mereka (keluarga besar Tjahjadi). Berikanlah kesempatan kepada kami untuk melangsungkan pernikahan ini dengan baik," katanya sehari sebelum majlis berlangsung. "Tidak benar ada kereta Jaguar 5 unit menjadi doorprize. Mengenai MLTR benar sebab kita anggap tetamu sangat istimewa, kita cuba menghiburkan mereka dengan baik,” katanya, memetik Tribunnews. Berhubung majlis pra-perkahwinan di lima benua, Rendra juga menafikannya. Menurutnya, hanya menu makanan berasal lima benua disediakan pada majlis itu. Kemewahan pernikahan pasangan ini dapat dilihat sejak awal proses. -foto Instagram/@jusupclarissawed Bermula dengan lamaran, pertunangan, bridal shower untuk mempelai wanita, hingga proses keagamaan dan resepsi. Jusup Cayadi melamar Clarissa di Macau pada Mei 2018. Mereka juga melakukan lamaran tradisional dengan konsep mewah, disusuli dengan upacara keagamaan. Tidak hanya meraikan hari bahagia, pasangan ini juga sempat mengumpul sumbangan untuk keluarga mangsa gempa bumi. Menurut Liputan6, mereka berjaya mengumpul sebanyak 1.26 juta Rupiah. "Terima kasih kepada media yang telah memberi penjelasan berita yang selama ini beredar di media sosial dan pada kesempatan ini, kami ingin berkongsi kebahagiaan dengan saudara-saudara kita di Sigi, Palu dan Donggala," kata wakil keluarga Rendra dalam satu sidang media selepas resepsi.