OHIO: Seorang bapa dari Bowling Green, Ohio di Amerika Syarikat (AS) tidak gembira dengan berita mengenai anak perempuannya yang berumur 10 tahun membuli rakan sebaya. Dia kemudian memikirkan sesuatu sebagai pengajaran buat anaknya sepanjang hayatnya. Matt Cox berkongsi video di Facebook pada Isnin lalu, menunjukkan anak perempuannya berjalan kaki di sekolah, sementara dia duduk di dalam kereta. Video tersebut memperoleh hampir 400,000 perkongsian dan 17 juta tontonan. Menerusi video itu, Cox dari belakang mengikut anak perempuannya yang berjalan kaki sambil membawa beg sekolah. Di dalam rakaman video tersebut, kedengaran dia memberitahu penonton bahawa anak perempuannya tidak dibenarkan menaiki bas sekolah buat kali kedua tahun ini, kerana membuli seorang lagi pelajar. "Biar saya menjelaskan, membuli sesuatu yang tidak boleh diterima terutama dalam kalangan ahli keluarga saya," kata Cox. "Jumaat lepas, bila anak perempuan saya bawa kertas kerja mengenai penggantungan servis bas sekolah, dia memberitahu saya, 'Ayah, kamu perlu hantar saya ke sekolah minggu ini'. "Seperti yang anda lihat pagi ini, dia mempelajari sesuatu yang lain. "Ramai anak-anak hari ini fikir ibu bapa melakukan sesuatu kerana keperluan dan bukan keistimewaan, seperti mereka menghantar anak mereka ke sekolah pada waktu pagi, malah menaiki bas ke sekolah," katanya. Dalam suhu 36 darjah celsius, anak perempuannya berjalan sejauh kira-kira 8 kilometer ke sekolah, sebagai pengajaran yang mungkin keterlaluan bagi segelintir ibu bapa. Namun bagi Cox, ia merasakan tindakannya itu adalah wajar sebagai pengajaran kepada anaknya supaya tidak lagi membuli. - Philippine Daily Inquirer/Asia News Network