POLIS Hong Kong pada malam Khamis memburu seorang pemuda yang mengekori seorang murid perempuan berumur lapan tahun, sebelum menawarkan wang untuk datang ke rumahnya. Insiden berlaku sebelum tengah hari Rabu, semasa murid di Sekolah Chiu Sheung itu dalam perjalanan pulang ke rumah bersendirian di Bangunan Kwan Yick di Jalan Barat Des Voeux. "Siasatan awal menunjukkan lelaki tersebut dalam lingkungan 20an, mengekori kanak-kanak itu memasuki bangunan dan memasuki lif yang sama," menurut sumber polis. Beliau berkata, kedua-duanya keluar dari lif di tingkat yang sama, dan budak perempuan itu berjalan ke rumahnya, sementara lelaki berkenaan sekadar menunggu di luar. Kira-kira 10 minit kemudian, kanak-kanak itu keluar dari rumah dan melihat lelaki tersebut di kaki lima dekat pangsapurinya. "Dia menawarkan HK$200 (RM107) untuk datang ke rumahnya," kata sumber, sambil menambah kanak-kanak terbabit tidak mempedulikannya dan lari ke tingkat bawah. Budak tersebut memberitahu bapanya mengenai apa yang berlaku selepas pulang ke rumah. Bapanya kemudian menghubungi polis pada hari yang sama. Pihak polis melakukan pemeriksaan tetapi tiada penahanan dibuat. Menurut polis, lelaki berkenaan yang berketinggian 1.75 meter dan saiz badan sederhana, memakai baju kemeja lengan pendek putih, kasut sukan hitam dan topi merah, hitam dan putih. - South China Morning Post