suria

Shakira bakal didakwa elak cukai RM68 juta

MADRID: Pendakwa raya Sepanyol akan memfailkan aduan terhadap penyanyi, Shakira kerana didakwa cuba mengelak cukai sebanyak 14.5 juta euro (RM68 juta).

Bagaimanapun, peguam penyanyi kelahiran Colombia itu menafikan perkara itu.

Akhbar El Pais melaporkan, pendakwa raya memaklumkan peguam Shakira bahawa selepas siasatan kes itu, mereka akan memfailkan aduan di mahkamah dalam masa terdekat atas dakwaan mengelak cukai.

Jurucakap pejabat pendakwaan Sepanyol memberitahu, setakat ini tiada sebarang tindakan diambil.

Menurut pihak pendakwa, bintang berusia 41 tahun itu disyaki tidak membayar cukai di Sepanyol walaupun menetap di negara itu antara 2011 dan 2014.

Shakira yang menjalin hubungan dengan bintang kelab Barcelona, Gerard Pique, dan mempunyai dua cahaya mata telah berpindah ke Sepanyol sebagai kediaman tetap mereka pada 2015.

Bagaimanapun, jelas wakil Shakira, sehingga 2014, penyanyi itu memperoleh pendapatan susulan konsert jelajah antarabangsa dan tidak tinggal di Sepanyol lebih enam bulan dalam setahun, iaitu prasyarat yang ditetapkan untuk membayar cukai di negara itu. — TheWeekendAustralian

Shakira, cukai, Sepanyol

Artikel Lain