suria

Bekas pelakon TV bunuh diri selepas ibu meninggal akibat kanser

Mayat Cady ditemui seorang rakan di kediamannya.

SEORANG bekas pelakon membunuh diri kerana tertekan selepas kematian ibunya yang menderita sakit kanser.

Sepupu kepada mangsa memberitahu Cady Stewart, 33, 'tidak mahu berasa gembira' sebaliknya ingin merasai kesakitan yang ditanggung ibunya, Sharon.

Pada 2 Jun lalu, Cady menulis nota bunuh diri meminta rakannya untuk menjaga anjing peliharaannya yang diberi nama Bella.

Dia meninggal dunia dipercayai akibat mengambil dadah secara berlebihan.

Mayat Cady ditemui seorang rakan di rumahnya selepas mesej yang dihantar kepadanya tidak dibalas.

Perkara itu dimaklumkan dalam sesi perbicaraan di sebuah mahkamah.

Cady yang berasal dari Droylsden, Greater Manchester merupakan pelakon tambahan dalam sebuah rancangan televisyen.

TINGGAL KENANGAN... Cady bersama ibunya, Sharon.

Dia yang juga pernah bekerja sebagai pendandan rambut disifatkan amat rapat dengan ibunya yang juga ibu tunggal.

Bapanya, Stewart meninggal dunia pada November tahun lalu ketika berusia 50 tahun.

"Bapanya tidak banyak ambil tahu tentang Cady. Mereka pernah berhubung melalui Facebook dan ketika saya tanya adakah dia akan buat sesuatu mengenai hubungan mereka, dia kata tidak kerana bapanya tidak pernah berada di sisinya.

"Dia tinggal bersama dengan ibunya dan menghabiskan banyak masa bersama neneknya. Mereka amat rapat. Saya mempunyai beberapa kenangan indah bersamanya. Dia seperti kakak kepada saya," kata sepupunya itu dalam satu kenyataan.

Ahli patologi, Dr Vicki Howarth mengesahkan punca kematian Cady disebabkan dadah berlebihan.

Jurucakap polis berkata tiada pihak ketiga terlibat dan tiada bukti mangsa dibunuh. - Mirror.co.uk

pelakon, bunuh diri

Artikel Lain